Harga hartanah bagi projek baharu dijangka meningkat tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga hartanah bagi projek baharu dijangka meningkat tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 April - Transaksi hartanah dijangka pulih secara beransur-ansur pada 2023 apabila sentimen pasaran bertambah baik didorong permintaan hartanah yang lebih tinggi berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Ini berdasarkan kepada Laporan Pasaran Hartanah 2021 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah transaksi hartanah meningkat secara sederhana sebanyak 1.5% tahun ke tahun kepada 300,497 unit pada tahun lalu dipacu transaksi yang lebih tinggi bagi hartanah kediaman, komersial dan perindustrian.

 

AmInvestment berkata, jumlah tersebut adalah 91% lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik pada 2019. 

 

Katanya, walaupun ia mewakili peningkatan tahunan yang sederhana dalam jumlah transaksi, nilai itu meningkat kepada RM144.9 bilion pada 2021, paras tertinggi sejak 2017. 

 

"Pertumbuhan yang lebih kukuh ini didorong transaksi yang lebih tinggi bagi hartanah kediaman dan perindustrian melebihi RM1 juta. 

 

"Mengikut negeri, Selangor merupakan penyumbang terbesar dari segi jumlah transaksi pasaran hartanah sebanyak 20% diikuti Perak dan Johor, masing-masing sebanyak 12%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Tahun lalu, pasaran hartanah menyaksikan pelancaran unit kediaman baharu sekitar 44,000 unit, terendah sejak 2007.

 

Pemaju menarik balik pelancaran baharu berikutan pasaran hartanah yang semakin lemah dan inventori tidak terjual yang lebih tinggi, mengakibatkan penurunan sebanyak 6.7% dalam pelancaran baharu berbanding 2020. 

 

Bagaimanapun, prestasi jualan bagi pelancaran baharu meningkat kepada 39% pada 2021 daripada 29% pada tahun sebelumnya.

 

Dalam hal ini, AmInvestment melihat kemungkinan margin operasi pemaju hartanah akan berdepan tekanan pada tahun ini disebabkan gangguan rantaian bekalan yang berterusan disebabkan kos bahan binaan yang ketat. 

 

Katanya, ini akan menyaksikan trend pelancaran hartanah yang konservatif berterusan tahun ini memandangkan hampir kebanyakan pemaju (kecuali Mah Sing Group Bhd. dan Lagenda Properties Bhd.) memberi panduan sasaran jualan yang lebih berhemat bagi tahun kewangan 2022 (FY22), lebih rendah daripada jualan sebenar FY21.

 

"Namun, kami menjangkakan harga hartanah bagi projek baharu tahun ini akan meningkat pada kadar yang lebih tinggi memandangkan beberapa pemaju merancang untuk melepaskan sebahagian daripada kos bahan binaan kepada pembeli bagi melindungi margin pemaju," jelasnya.

 

Pada masa sama, firma itu turut menyatakan kebimbangannya terhadap isu kemampuan sedia ada dalam pasaran perumahan, yang semakin meningkat sejak menularnya wabak COVID-19 memandangkan pendapatan boleh guna pengguna telah terjejas.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah dengan saham pilihan utamanya ialah Sunway Bhd. yang diberi saranan 'beli' dengan nilai wajar (FV) RM2.27 sesaham. - DagangNews.com