KUALA LUMPUR 28 Feb - Harga eksport Malaysia merosot 0.5% daripada 148 mata pada bulan sebelumnya kepada 147.2 mata, termasuk harga import jatuh 0.1% daripada 128.7 mata kepada 128.5 mata pada Januari 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, terma perdagangan Malaysia juga menurun 0.4% bulan ke bulan kepada 114.5 mata pada bulan lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport turun 0.5% pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan penurunan indeks minyak galian (-2.8%), barang-barang keluaran kilang (-0.2%) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-0.2%).
Namun begitu katanya, indeks volum eksport naik 4% selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (30.4%), barang-barang keluaran kilang (9.6%) dan bahan kimia (2.4%).
Beliau berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 16.1% daripada 140.8 mata kepada 163.5 mata.
"Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 3.1% dan 5.4%. Indeks nilai seunit import menurun 0.1% pada Januari 2024, disumbangkan penurunan indeks minyak galian (-2.6%), bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.3%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.2%).
"Sementara itu, indeks volum import naik 5.6% pada Januari 2024 berbanding bulan sebelum, disumbangkan kenaikan dalam indeks makanan (+20.8%), barang-barang keluaran kilang (+13.6%) dan minyak galian (+6.0%). Indeks volum import pelarasan bermusim meningkat 9.8% daripada 189.8 mata kepada 208.4 mata.
"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 0.4% dan 18.5%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Mohd Uzir, terma perdagangan Malaysia susut 0.4% bulan ke bulan kepada 114.5 mata pada Januari 2024, didorong penurunan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-1.3%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.4%) dan minyak galian (-0.2%).
Katanya, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 2.7% daripada 111.5 mata pada Januari tahun lalu. - DagangNews.com