Harga bahan api tinggi dijangka jejaskan pemulihan AirAsia X | DagangNews Skip to main content

Harga bahan api tinggi dijangka jejaskan pemulihan AirAsia X

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mei - Harga bahan api yang tinggi dijangka mempengaruhi prospek pemulihan AirAsia X Bhd. bagi tahun ini, demikian menurut Public Investment Bank Research. 

 

Penganalisisnya, Denny Oh berkata, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu mungkin menyalurkan harga bahan api yang melonjak kepada penumpang dan kargo udara melalui surcaj bahan api dan harga tiket, walaupun permintaan mungkin terjejas oleh tambang yang lebih tinggi.

 

Langkah sedemikian, katanya, akan mengakibatkan margin dan aliran tunai AirAsia X semakin lemah.

 

"Pada suku pertama, kumpulan beroperasi dengan 6 pesawat dan akan meningkatkan operasi sepenuhnya (dengan 13 pesawat) menjelang akhir 2022.

 

"Malah, hasil daripada penerbangan dan kargo juga dijangka terus meningkat memandangkan lebih banyak pesawat kembali beroperasi dan kebanyakan negara juga sudah menarik balik sekatan perjalanan.

 

"Walaupun perjalanan udara kembali pulih tahun ini, tetapi harga bahan api yang tinggi akan menjadi risiko kepada AirAsia X dalam tempoh terdekat kerana ia tidak mempunyai kontrak lindung nilai bahan api," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM33.62 bilion pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 selepas mencatatkan kembali jumlah yang sama kepada keuntungan apabila ia menyelesaikan penstrukturan semula hutangnya.

 

Selepas mengecualikan hapus kira peruntukan, AirAsia X mencatatkan kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LABITDA) sebanyak RM6.08 juta.

 

Hasil pada suku berkenaan pula berjumlah RM113.01 juta. Bagi suku sebelumnya (suku kedua berakhir 31 Disember 2021), AirAsia X mencatatkan kerugian bersih RM11.94 juta dengan hasil RM119.31 juta.

 

Menurut Oh, memandangkan tahun kewangan telah diubah dari 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021, beliau membuat perbandingan dengan prestasi suku pertama 2021 (tempoh yang sama tahun lalu berakhir 31 Mac). 

 

Beliau mendapati, bagi item tidak berulang yang dilaraskan, kerugian bersih teras pada suku ketiga FY22 sebanyak RM29.8 juta mengecil daripada kerugian bersih teras sebanyak RM307.5 juta tahun ke tahun pada  suku pertama (2021) tetapi melebar daripada RM11.3 juta pada suku kedua FY22.

 

"Walaupun keputusan kewangan ini adalah di bawah jangkaan kami, tetapi kami melihat prospek yang lebih kukuh bergerak ke hadapan kerana banyak pasaran utama AirAsia X telah membuka semula sempadan antarabangsa mereka dengan menghapuskan atau melonggarkan sekatan perjalanan.

 

"Kami juga positif terhadap langkah pemulihan kumpulan, meskipun nilai penuh mungkin hanya dapat dicapai dengan pemegang saham melalui keseluruhan pelaksanaan korporat (termasuk terbitan hak)," jelasnya.

 

Susulan itu, Public Investment mengulangi pandangan 'outperform' terhadap AirAsia X dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.04 daripada RM1.30 sebelum ini, bagi mencerminkan harga bahan api dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

 

Setakat 10.42 pagi, harga saham AirAsia X menokok 3.5 sen atau 6.31% kepada 59 sen dengan 778,400 saham diniagakan. - DagangNews.com