Harga bahan api tinggi beri risiko kepada prospek Capital A  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga bahan api tinggi beri risiko kepada prospek Capital A 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Mei - MIDF Research kekal 'neutral' terhadap Capital A Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd. memandangkan kumpulan dijangka terus mencatat kerugian. 

 

Firma itu juga mengekalkan harga sasarannya tidak berubah pada 61 sen. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion berbanding RM976.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun hasil keseluruhan kumpulan meningkat dua kali ganda pada asas tahun ke tahun.

 

Hasil pada suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM812 juta daripada RM321 juta memandangkan hasil daripada sumber penerbangan melonjak 226% kepada RM601 juta.

 

"Bagi kami, prestasi kewangan Capital A yang merekodkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM790.6 juta, merangkumi 43% jangkaan kami dan 47% konsensus bagi anggaran kerugian tahun penuh.

 

"Ini sebahagian besarnya berada dalam jangkaan kerana kami menjangkakan kumpulan akan merekodkan suku tahun akan datang yang kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, unit penerbangan Capital A akan terus meningkat pada suku-suku akan datang sejajar dengan pembukaan semula beberapa laluan popular. 

 

"Pengenalan laluan baharu juga akan membantu menyumbang hasil yang lebih baik kepada kumpulan sejajar dengan peralihan negara kepada fasa endemik," tambahnya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, harga bahan api pesawat yang tinggi masih kekal menjadi risiko penurunan utama kepada Capital A untuk kembali mencatat keuntungan. 

 

Setakat 9.20 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 3.01% kepada 64.5 sen dengan 3.54 juta saham diniagakan. - DagangNews.com