KUALA LUMPUR 10 Mac - HAL Fintech Advisor dan Fitrah Sunnah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama antarabangsa dengan slogan ‘Seni Kayu Melayu Untuk Dunia’.
MoU itu ditandatangani di Karnival Wood & Lifestyle bersempena sambutan 50 tahun penubuhan Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB) yang diadakan di Malaysia Grand Bazar, Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut HAL Fintech, teras utama MoU ini adalah menggalakkan kerjasama antarabangsa antara Fitrah Ummah dan HAL Fintech dalam mempromosi seni kayu tempatan ke luar negara melalui aktiviti kemasyarakatan dan pemakanan sunnah.
Melalui kerjasama strategik ini, jenama Cenderakayu yang akan diperkenalkan sebagai suatu gaya hidup dalam mendapatkan khasiat sebenar madu tualang, termasuk ukiran rumah lebah, sudu kayu khas, lapik madu dan tempat penyimpanan madu, katanya
Kerjasama strategik ini juga akan diperluaskan untuk membangunkan sebuah galeri madu bertaraf antarabangsa yang bakal mempamerkan elemen kerja kayu dan seni tempatan bagi tujuan pelancongan dan pembiakan lebah malifera.
Pengasas Fitrah Ummah, Faizal Ishak dan Aizuddinur Zakaria menandatangani MoU itu bagi pihak pihak masing-masing.
HAL Fintech Advisor merupakan syarikat pembekal ukiran plak kayu 3D dan 2D, tanda-tanda serta penggunaan mesin CNC di bawah jenama CenderaKayu untuk menyokong bakat dalam kraf kayu dan perundingan seni menggunakan teknologi baharu serta inovasi digital.
Sementara itu, Fitrah Sunnah merupakan cabang dagangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Fitrah Ummah yang giat mempromosi aktiviti kemasyarakatan dan pemakanan sunnah dalam negara selain mempunyai rangkaian di luar negara seperti termasuk di Asia Tenggara, Afrika dan Timur Tengah melalui anak syarikat Fitrah Travel.
Majlis turut menyaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Komersial), Hajah Roslina Haji Idris dan tetamu kehormat, Timbalan Perdana Menteri, juga merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof telah melawati reruai pameran HAL Fintech X Fitrah Sunnah
Anugerah khas juga disampaikan kepada penggiat industri kayu negara di bawah pelbagai kategori iaitu Usahawan PEKA, Usahawan Muda PEKA, Anugerah Khas Usahawan (Veteran) PEKA, Pempengaruh (Influencer) Media Sosial JULB serta Pertandingan Mereka Bentuk Trofi Anugerah Usahawan. -DagangNews.com








