Hab reka bentuk IC terbesar Asia Tenggara dibina di Selangor, tempatkan penyewa bertaraf dunia | DagangNews Skip to main content

Hab reka bentuk IC terbesar Asia Tenggara dibina di Selangor, tempatkan penyewa bertaraf dunia

Anwar Ibrahim saksikan acara menandatangani surat hasrat kerjasama strategik yang ditandatangani CEO SIDEC, Yong Kai Ping bersama wakil empat syarikat terlibat. Gambar SIDEC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Malaysia sedang membina hab reka bentuk litar bersepadu (IC) terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Puchong, Selangor.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerja-kerja di lapangan telah pun dimulakan yang bakal menempatkan penyewa utama bertaraf dunia.

 

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan IC Design Park terbesar di Asia Tenggara yang akan menempatkan penyewa utama bertaraf dunia dan bekerjasama dengan syarikat global seperti ARM (Ltd).

 

"Ini dilakukan dengan sokongan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan kerajaan negeri Selangor," katanya.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di ibu negara hari ini.

 

ARM Ltd merupakan anak syarikat konglomerat Jepun SoftBank yang mengkhusus dalam menyediakan harta intelek (IP) dan teknologi berkaitan untuk pemprosesan peranti elektronik moden.

 

Dengan melesenkan reka bentuk mereka kepada lebih 1,000 rakan kongsi global seperti Apple, Microsoft dan Samsung, teknologi cekap tenaga ARM memainkan peranan penting dalam membolehkan hayat bateri telefon pintar dan tablet bertahan lebih lama.

 

Sementara itu, SIDEC berkata, projek itu terletak secara strategik di sebidang tanah seluas 45,000 kaki persegi di Puchong, bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri reka bentuk IC global.

 

Menurut perbadadanan itu, kerjasama ini akan memangkin pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan kepakaran tempatan di Malaysia.

 

"IC Design Park telah memperoleh komitmen empat rakan kongsi yang berpengaruh iaitu ARM Ltd, Phison Malaysia (MaiStorage), SkyeChip Sdn Bhd dan Persatuan Industri Semikonduktor Shenzhen," katanya dalam kenyataan media.

 

Dalam majlis itu, Anwar turut menyaksikan acara menandatangani surat hasrat kerjasama strategik yang ditandatangani CEO SIDEC, Yong Kai Ping bersama wakil empat syarikat terlibat.

 

SIDEC berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan industri global Malaysia tetapi juga meningkatkan inovasi, pembangunan kemahiran dan kebebasan teknologi, menyumbang dengan ketara kepada daya tahan ekonomi jangka panjang negara.

 

"Malaysia mesti segera merebut peluang dalam reka bentuk cip untuk meningkatkan rantaian nilai semikonduktor apabila persaingan semakin sengit.

 

"Inisiatif ini bukan sahaja mengenai kemajuan teknologi tetapi juga mengenai memangkin pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, dan meningkatkan kepakaran Malaysia dalam industri teknologi tinggi," kata kenyataan media SIDEC.- DagangNews.com