Gunakan sumber air bawah tanah sebagai alternatif tampung permintaan sehingga 2050 - PM | DagangNews Skip to main content

Gunakan sumber air bawah tanah sebagai alternatif tampung permintaan sehingga 2050 - PM

BERA 26 Mac - Malaysia disyorkan membina lebih banyak kawasan tadahan (reservoir) selain menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber alternatif bekalan air negara sebagai usaha menampung permintaan sehingga 2050.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung Malaysia (2000-2050) mendapati air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar serta kawasan terpencil untuk pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian dan domestik melalui beberapa kaedah dan proses yang bersesuaian. 

 

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber konjuntif bekalan air negara untuk kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah (underground dam), akuifer buatan (managed aquifer recharge) dan susupan tebing (river bank filtration).

 

"Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun namun penggunaannya adalah kurang daripada 3% berbanding negara seperti Denmark dengan 100%, Austria (98%), Thailand (80%), China (78%) dan Amerika Syarikat (50%). 

 

"Di Malaysia ketika ini, air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak.

 

"Usaha berterusan juga dijalankan bagi memperkasa dan mengharmonikan tadbir urus berkaitan sumber air bawah tanah dengan semua pihak yang berkepentingan di peringkat persekutuan atau negeri," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia di Taman Awam, Bera, hari ini.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sedang mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara dengan mengambil kira situasi dan cabaran yang dihadapi sektor air negara dan ia akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan rancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Beliau juga menyeru, agar semua pihak berkepentingan tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam yang dikenali sebagai PISMA bagi Bandar Bera.

 

pm

 

Beliau berkata, pelan itu akan dijadikan panduan untuk merancang pembangunan khususnya dalam sistem perparitan, yang lebih sistematik dan mampan.

 

"Apabila siap, projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk dalam kawasan Bera bagi mengurangkan risiko banjir," katanya. - DagangNews.com