KUALA LUMPUR 4 April - Grab melancarkan kempen ‘Raya Lagi Mantap Bersama Grab’ yang menawarkan rakan pemandu peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan dan penjimatan sehingga RM2,000, termasuk hadiah bernilai sehingga RM20,000 untuk dimenangi.
Syarikat tersebut dalam kenyataan hari ini berkata, kempen tersebut berlangsung mulai 22 Mac hingga 30 April 2023.
Katanya, ia sebahagian daripada usaha berterusan Grab untuk membawa masuk lebih ramai lagi rakan pemandu, memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakan pemandu sedia ada dan menjadikan pengangkutan mudah diakses semua penumpang.
"Dengan ini, Grab berhasrat untuk terus menyediakan lebih banyak peluang untuk memperoleh hasil dan jaringan keselamatan pendapatan bagi mereka yang menyertai platform ini.
"Kempen ini merupakan salah satu daripada tawaran yang disediakan untuk rakyat Malaysia mengakses pendapatan yang adil, mampan dan produktif," katanya.
Menurut kenyataan itu, untuk menyertai pelbagai inisiatif dalam kempen tersebut, rakan pemandu hanya perlu meneruskan pemanduan mereka melalui platform Grab dan memenuhi syarat tertentu.
Katanya, rakan pemandu sedia ada dan baharu yang telah mengesyorkan pendaftaran ke platform juga akan berpeluang memperoleh pendapatan tambahan dan baucar minyak.

Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, misi Grab sejak awal lagi adalah untuk menyediakan pilihan pengangkutan yang selamat, mudah dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
"Memandangkan permintaan untuk e-hailing telah pulih dengan pantas, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan bilangan pemandu yang aktif dan mengoptimumkan lagi pemandu yang sedia ada untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
"Kami berharap inisiatif-inisiatif dan langkah yang kami ambil ini akan menggalakkan rakan pemandu baharu untuk menyertai platform Grab secepat mungkin untuk memperoleh manfaat daripada pendapatan tambahan yang telah disediakan untuk mereka,” katanya.
Rakan pemandu yang layak mendapat baucar pendahuluan dan pembiayaan fleksibel oleh Grab boleh memenangi Duit Raya (dalam bentuk pulangan tunai) bernilai RM125.
Mereka juga berpeluang untuk menyertai dan menang dalam kempen Hari Raya Home Makeover yang bernilai sehingga RM20,000. - DagangNews.com








