KUALA LUMPUR 29 Sept - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik Gordon Andrew Stewart sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi organisasi operasi lapangan terbang Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Beliau memiliki pengalaman luas selama 33 tahun dalam pelbagai industri termasuk penerbangan, kereta api dan teknologi maklumat.
Sebelum menyertai MAHB, Stewart adalah Pengarah Projek Global di DAA International, sebuah kumpulan pengurusan lapangan terbang global, perundingan dan pelaburan di Dublin, Ireland yang menguruskan lapangan terbang antarabangsa di seluruh dunia, termasuk Eropah dan Timur Tengah.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood, berkata, Stewart membawa pengalaman penting dalam sektor penerbangan dan industri gabungan.
"Gordon menyertai kami pada persimpangan penting dalam perjalanan pertumbuhan strategik kami, sambil kami menggandakan usaha untuk membawa operasi perniagaan teras ke peringkat seterusnya.
"Saya yakin beliau akan membantu dalam mengemudi kami ke arah kecemerlangan operasi yang inovatif dan mampan dalam usaha kami untuk menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengalaman Stewart termasuk berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan di Maldives Airports Company Limited yang mana beliau bertanggungjawab mengemudi pembangunan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Velana.
Beliau juga pernah berkhidmat dengan Bahrain Airport Company, British Airports Authority, First ScotRail, Bombardier Transportation, Compaq dan IBM.
Stewart memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Kejuruteraan Sistem Perindustrian dan Pembuatan dari University of Paisley, United Kingdom dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan, Strategi Utama dari University of Strathclyde, United Kingdom. - DagangNews.com








