KUALA LUMPUR 23 Feb - DFI Group memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan terkemuka Malaysia, diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan tempatan Datuk Andrew Lim, untuk memperoleh kesemua perniagaan makanan DFI di Malaysia, termasuk jenama ikonik Giant.
Langkah pengambilalihan ini dijangka selesai awal Mac 2023, menurut DFI dalam kenyataan hari ini.
Syarikat tempatan ini diterajui oleh Andrew Lim, yang mempunyai rekod prestasi luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit serta dikreditkan dengan sumbangan ketara kepada pertumbuhan dan transformasi landskap runcit di Malaysia.
Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn Bhd, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang.
Malah, syarikat tempatan ini berkongsi kepercayaan yang sama seperti DFI dalam memberi fokus kepada menyampaikan kualiti, perkhidmatan serta nilai hebat kepada pelanggan.

DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Andrew Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.
Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh.
Sejajar dengan langkah tersebut, syarikat tempatan ini juga akan mengambil alih 2,500 kakitangan sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush berkata, pihaknya amat gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan ini diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang berjaya, dengan mengekalkan kakitangan berdedikasi syarikat.
Menurutnya, peralihan ini akan membolehkan DFI Group menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia.
"Kami memang teruja dengan peluang untuk memajukan Guardian lebih pesat disokong penambahan cawangan yang ketara, penambahbaikan kedai dan peningkatan tawaran kepada pelanggan.
"Langkah ini membolehkan kami memberi impak yang lebih besar kepada pelanggan sambil membina kekuatan runcit kami dalam memberi kecemerlangan kepada pelanggan setiap hari," jelasnya.

Sementara itu, Andrew Lim berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan dan amanah kepada kami bersama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baru," katanya.
DFI kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat.
Pada masa sama, DFI Group akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022.
Di samping itu, DFI merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan perkerjaan dalam tempoh dua tahun ini. - DagangNews.com








