KUALA LUMPUR 12 Julai - Prinsip Rangka Kerja Global Minyak Sawit Mampan (GFP-SPO) boleh digunakan sebagai rujukan merentasi skim pensijilan berbeza yang digunakan terutamanya untuk pengeluaran minyak sawit yang menjadikan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) sebagai asasnya.
GFP-SPO diperkenalkan dalam satu webinar pada 11 Julai di acara sampingan ketika Forum Politik Peringkat Tinggi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (ECOSOC HLPF).
Acara itu dikendalikan oleh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dengan kerjasama kerajaan Indonesia, Malaysia, Filipina, dan International Coconut Community (ICC).
Ia turut dihadiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.
Zuraida berkata, walaupun GFP-SPO dibangunkan menerusi lensa minyak sawit bagi mengukur sumbangan minyak sawit ke arah mencapai pembangunan mampan, ia sebenarnya boleh digunakan sebagai rujukan kemampanan bagi minyak sayuran lain seperti soya, biji sawi, bunga matahari dan lain-lain.
“Oleh itu, adalah penting bagi ECOSOC HLPF untuk mengiktiraf Prinsip Rangka Kerja Global Minyak Sawit Mampan sebagai satu langkah ke hadapan dalam menerima minyak sawit sebagai minyak sayuran mampan selaras dengan prinsip SDG,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Airlangga berkata, saiz pasaran minyak sayuran global dijangka meningkat daripada 199.1 juta tan pada 2020 kepada 258.4 juta tan menjelang 2026 dengan mengambil kira populasi global yang semakin meningkat dan penggunaan minyak sayuran yang meluas dalam pelbagai industri.
“Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kesinambungan bekalan minyak sayuran yang mencukupi ke pasaran global untuk mengelakkan ketidaktentuan harga dan kejutan kepada ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata Indonesia menekankan komoditi pertanian termasuk minyak sayuran untuk memenuhi piawaian kemampanan global.
“Sehubungan itu, usaha bersama untuk memastikan kemampanan dalam pasaran minyak sayuran global harus dijalankan secara holistik dan tidak diskriminasi.
“Selain itu, usaha sebegini secara meluas harus mengambil kira perjanjian antarabangsa seperti UN SDG 2030 serta Perjanjian Paris,” tambahnya.
Bertemakan Memangkin Tindakan untuk Minyak Sayur Mampan dalam Menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, acara itu berfungsi sebagai saluran untuk menggiatkan kesedaran orang ramai tentang trend dan tindakan yang terkini dalam memastikan kemampanan merentasi semua jenis minyak sayuran dan mengenal pasti peluang untuk langkah seterusnya serta pelaksanaan usaha bersama dalam mempromosikan minyak sayuran mampan merentasi kedua-dua negara pengeluar dan pengguna.
Pengarah Eksekutif CPOPC, Dr Rizal Affandi Lukman berkata, majlis itu berharap rangka kerja itu boleh dipertimbangkan secara global sebagai asas untuk penubuhan kemampanan platform minyak sayuran.
“CPOPC bersedia untuk terlibat dalam merealisasikan komitmen itu ke arah pembangunan mampan global,” katanya.
Acara itu juga memaparkan pameran maya (VE) pada 10-15 Julai, yang melibatkan 24 pempamer dan pemegang kepentingan dari negara pengeluar minyak sayuran mempamerkan amalan terbaik dan pengalaman mereka menyokong SDG, Bernama melaporkan.
VE itu tersedia di https://sustainablevegetableoilshlpf2022.com. - DagangNews.com








