Gerai jualan harga patut Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis terus ‘diserbu’ | DagangNews Skip to main content

Gerai jualan harga patut Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis terus ‘diserbu’

Mohamad Iman

KANGAR 26 Mac - Gerai Jualan Harga Patut Koperasi (JHP) terus ‘diserbu’ orang ramai pada hari kedua Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis bagi mendapatkan barangan asas dengan harga yang cukup murah.

 

Malah ada dalam kalangan pengunjung datang seawal pukul 8 pagi ke tapak karnival di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini bagi tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis barangan asas seperti beras, gula,minyak masak, bawang dan pelbagai lagi.

 

Seorang pengunjung, Rospaliza Yahya,49, berkata, perbezaan harga barangan yang dijual di sini begitu ketara berbanding kedai-kedai lain.

 

Katanya, lazimnya, beras lima kilogram berharga RM13.50 namun di gerai tersebut hanya serendah RM10, manakala gula dari RM2.80 jatuh kepada RM2 selain bawang sebungkus dari RM3.80 kepada RM2.

 

Ujarnya, langkah kerajaan memperkenalkan gerai jualan harga patut sempena program AKM sangat membantu rakyat khususnya bagi golongan yang memerlukan.

 

“Inilah peluang kami membeli pelbagai jenis barangan keperluan harian dengan harga jauh lebih murah. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan khususnya dalam suasana serba mencabar ketika ini.

 

kedai
Rospaliza Yahya

 

“Di saat kebanyakkan harga barangan melambung tinggi, inisiatif gerai jualan tersebut telah membantu kami mendapatkan barangan dengan harga lebih murah,” katanya.

 

Seorang lagi pengunjung, Naimah Saad, 62, berkata, dia tidak melepaskan peluang mengunjungi gerai jualan tersebut bagi membeli barangan keperluan.

 

kedai
Naimah Saad

 

Katanya, sememangnya perbezaan harga cukup ketara khususnya membabitkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, bawang dan pelbagai lagi.

 

kedai

 

“Alhamdulillah harga barang di sini jauh lebih rendah berbanding harga di kedai runcit dan sebagainya. Kami mengambil peluang ini untuk membeli barang dapur.

 

kedai

 

“Gerai Jualan Harga Patut Koperasi ini dilihat menjadi antara yang menarik perhatian pengunjung sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis kali ini,” katanya.

 

kedai

 

Difahamkan lebih 50 barangan keperluan asas dan penjagaan diri pada harga berpatutan disediakan di gerai jualan tersebut. - DagangNews.com