KUALA LUMPUR 5 April - Genting Plantations Bhd mencadangkan ganjaran persaraan sebanyak RM787,523 kepada Quah Chek Tin sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya untuk tempoh yang lama dengan syarikat itu.
Genting Plantations memaklumkan, Quah, yang merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat itu, menyatakan hasratnya untuk bersara pada akhir mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan datang.
"Butiran mengenai cadangan pembayaran ganjaran persaraan itu akan disediakan melalui cara elektronik kepada para pemegang saham syarikat pada masa akan datang," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.
Ia adalah bonus persaraan kedua yang dicadangkan oleh syarikat yang dikaitkan dengan Genting Bhd dalam tempoh dua hari.
Isnin lepas, Genting Malaysia Bhd mencadangkan ganjaran sebanyak RM807,162 kepada Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Clifford Herbert atas perkhidmatannya yang lama dalam syarikat itu.
Genting Bhd memiliki 54.44% Genting Plantations dan 49.33% Genting Malaysia.
Quah, 70, dilantik ke lembaga pengarah Genting Plantations pada 19 Oktober 2001 sebagai Pengarah Eksekutif dan dilantik semula sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bebas pada 8 Oktober 2008.

Beliau menyertai Kumpulan Genting pada tahun 1979 dan telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam kumpulan itu.
Beliau adalah Pengarah Eksekutif Genting Bhd serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia sebelum bersara pada Oktober 2006.
Keuntungan bersih Genting Plantation turun 65.4% kepada RM55.86 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY2022) daripada RM161.64 juta setahun sebelumnya, sejajar dengan harga produk sawit yang lebih lemah dan kos pengeluaran yang lebih tinggi.
Hasil suku tahunan susut 26.1% kepada RM791.19 juta daripada RM1.07 bilion, kerana kedua-dua segmen perladangan dan perkilangan hiliran merekodkan harga produk sawit yang lebih rendah.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen akhir sebanyak empat sen sesaham untuk FY2022, bersama dengan dividen khas sebanyak 15 sen. Ini menjadikan jumlah dividen bagi tahun tersebut kepada 34 sen, berbanding 30 sen untuk FY2021. - DagangNews.com








