Genting bersedia untuk proses perkembangan lebih awal daripada firma bersekutu TauRX | DagangNews Skip to main content

Genting bersedia untuk proses perkembangan lebih awal daripada firma bersekutu TauRX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - RHB Research menjangkakan langkah penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersekutu Genting Berhad, TauRx Pharmaceuticals Ltd. akan mempercepatkan proses perkembangan berbanding tawaran awam permulaan (IPO).

 

Firma itu berkata, walaupun Genting tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai strategi berkaitan pegangan TauRX, sebarang pilihan realisasi nilai atau pengewangan dijangka positif selepas melabur dalam firma itu sejak November 2012.

 

"Untuk TauRX ke IPO, mereka perlu mengkomersialkan ubat berkaitan Alzheimer, HMTM pada 2023 dan memulakan penyenaraian pada 2024.

 

"Kami berpendapat bahawa langkah itu akan membenarkan proses pengewangan lebih awal untuk kepentingan genting selepas mengambil kira firma farmaseutikal besar mungkin berminat terhadap TauRX bagi memiliki satu-satunya rawatan Alzheimer yang berkesan di dunia.

 

"Langkah M&A akan membolehkan TauRX untuk menggunakan sumber daripada firma besar bagi mempercepatkan kemasukan HMTM ke pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, HMTM akan menjalani kajian terbuka selama 12 bulan selain mendapatkan kelulusan kawal selia lebih awal untuk ubat Alzheimer itu sebelum kajian itu tamat.

 

Katanya, TauRx dijangka menyumbang antara RM1.3 bilion hingga RM4.3 bilion kepada tahun kewangan 2024 (FY24) hingga FY26 dengan mengambil kira margin bersih 10%.

 

"Selepas mengambil kira pasaran HMTM dan nilai TauRX masih tidak diketahui, kami mengambil keputusan untuk tidak memasukkannya dalan penilaian Genting buat masa sekarang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Genting dengan harga sasaran tidak berubah RM6.37," katanya. - DagangNews.com