GEG terlampau drastik, bakal beri kesan kepada industri vape - MVIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GEG terlampau drastik, bakal beri kesan kepada industri vape - MVIA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon kerajaan mempertimbangkan semula Dasar Generasi Penamat (GEG) dan tidak membebankan industri vape kerana polisi yang menghukum ini mampu memusnahkan keseluruhan komuniti ini.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, sebarang polisi tersebut bersifat ‘berat sebelah’ akan membantutkan industri vape tempatan.

 

“Industri tempatan baharu sahaja mula dikawal selia melalui percukaian, dan sekarang cadangan GEG pula dibentangkan. Ini seumpama menghukum industri vape tempatan.

 

“Ia adalah polisi yang sangat berat sebelah dan tidak adil untuk dikenakan ke atas industri vape yang baru mula dikawal selia. Dengan dasar sebegini, sudah tentu ia akan menghalang sebarang kemajuan yang telahpun dicapai.

 

“Kita harus melihat pada sudut yang lebih menyeluruh kerana impak negatif ini akan memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem industri termasuk pengusaha vape yang rata-rata terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rizani berkata, ia juga akan menghalang pelaburan asing dan domestik berikutan langkah drastik kerajaan berhubung pelaksanaan GEG.

 

Katanya, cadangan itu menerima pelbagai tentangan selain daripada pemain industri. 

 

 

mvia
                               Rizani Zakaria

 

 

Terdahulu, lebih 1 juta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang dianjurkan Malaysia Bersuara bagi menolak pelaksanaan undang-undang GEG untuk melarang individu yang lahir selepas 2007 daripada menggunakan produk tembakau dan vape untuk selama-lamanya walaupun mereka mencapai dewasa pada masa depan.

 

"Petisyen ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan larangan terus atau larangan penuh semata-mata mahu melihat jumlah perokok menurun tanpa melihat kepada permasalahan lain yang mungkin timbul selepas itu," katanya.

 

Katanya, kerajaan harus mengambil kira pandangan daripada orang ramai dan bukannya hanya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti-vape sahaja. 

 

Tambah beliau, jika keputusan drastik diambil dengan menghapuskan satu industri, maka akan wujud perkara seperti penyeludupan, produk yang tidak terkawal dan kehilangan pekerjaan serta industri tempatan yang telah membuat pelaburan dalam industri.

 

“Oleh itu, kami berharap kerajaan boleh pertimbangkan semula perkara ini. Cadangan GEG ini terlampau drastik dan tidak patut diperkenalkan," katanya. - DagangNews.com