KUALA LUMPUR 16 Feb - Airbnb mengulangi pendirian bahawa garis panduan yang dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk penginapan sewaan jangka pendek (STRA) akan menjejaskan punca pendapatan ramai rakyat Malaysia, jika digubal dan dikuatkuasakan tahun ini.
Platform penginapan tersebut telah menggesa untuk garis panduan baharu dalam maklum balas terperinci dan cadangan dasarnya kepada jawatankuasa eksekutif Pulau Pinang.
Seorang hos Airbnb sepenuh masa dari Pulau Pinang, Naseem Ali Shaik Othman berkata, menjadi hos adalah peluang kedua yang dia perlukan selepas kehilangan pekerjaan selama 15 tahun akibat pandemik.
“Dengan menjadi hos, saya dapat membiayai pinjaman perumahan dan perbelanjaan lain serta menampung keperluan dan pendidikan anak-anak saya.
"Isteri saya, yang menderita akibat 'slipped disc', tidak lagi perlu bekerja lebih masa untuk menyara keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selaras kembalinya perjalanan antara negeri, Pulau Pinang merupakan destinasi paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan Georgetown menduduki tempat teratas bagi destinasi domestik yang paling banyak dicari di Airbnb pada tahun 2022.
Dengan menghadkan pelancongan di Pulau Pinang, garis panduan yang dicadangkan boleh menjejaskan pemulihan perjalanan domestik dan antarabangsa dan pertumbuhan pekerjaan di Pulau Pinang dalam jangka panjang.
Jika ia diluluskan, garis panduan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri mampu menimbulkan sekatan berlebihan yang menyukarkan rakyat Malaysia tempatan untuk berkongsi rumah mereka dalam jangka masa panjang.
Ini termasuk mengehadkan tempoh penginapan tetamu kepada maksimum tiga hari sahaja, dan maksimum 180 hari setahun yang mana sesebuah kediaman boleh disewakan.
Dalam pada itu, Ketua Dasar Awam Airbnb Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, menjadi hos telah membantu ramai hos di Pulau Pinang dan di seluruh dunia menyara kehidupan dan menjana pendapatan tambahan.
"Kami percaya bahawa sewaan jangka pendek perlu dikawal selia secara adil dan progresif untuk membolehkan rakyat Malaysia berkongsi rumah mereka tanpa sekatan berlebihan, terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
"Kami menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkan semula garis panduan yang dicadangkan dan menerima pakai pendekatan yang seimbang dan mudah ke arah mengawal selia STRA di negeri ini," katanya. - DagangNews.com







