KUALA LUMPUR 12 Julai - Ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada suku kedua 2022 meskipun potensi sektor pembuatan belum direalisasikan sepenuhnya, demikian menurut firma penyelidikan.
Menurut AmInvestment Bank Research, keadaan itu disebabkan masalah rantaian bekalan yang semakin buruk akibat daripada dasar sifar COVID-19 yang dikuatkuasakan China, kenaikan kadar faedah secara agresif, masalah tenaga buruh dan harga input yang tinggi.
Namun begitu, katanya, peningkatan yang masih kukuh dalam produk elektrik dan elektronik (E&E) global, dengan peralihan ke arah fasa endemik dan permintaan domestik yang lebih kukuh akan terus meningkatkan ekonomi tempatan.
Dengan pelaburan baharu diluluskan mencecah RM42.8 bilion pada suku pertama 2022, firma itu menjangkakan output perindustrian tempatan hanya akan berkembang positif pada masa akan datang.
"Kami memerhatikan risiko penurunan yang semakin merosot yang boleh mengancam pertumbuhan ekonomi domestik.
"Persekitaran kadar faedah global yang semakin meningkat boleh memperlahankan ekonomi atau lebih teruk, membawa berlakunya kemelesetan.
"Selain itu, ringgit yang semakin lemah boleh mendorong harga input yang lebih tinggi dan menjejaskan output," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa IPI meningkat 4.1% tahun ke tahun pada Mei 2022 (berbanding April : 4.6%) dan nilai jualan pembuatan meningkat 15.7% tahun ke tahun kepada RM142 bilion pada bulan yang sama.
Susulan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zaful Tengku Abdul Aziz menyifatkan prestasi ekonomi negara dilihat beransur pulih dan mula mengembang berdasarkan pelbagai indikator termasuk data terkini bagi Mei 2022.
Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan IPI Malaysia untuk 2022 pada 4.3%, didorong terutamanya oleh perbelanjaan domestik yang semakin meningkat dan peningkatan permintaan asing yang berterusan bagi produk E&E dan barangan perkilangan lain.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa beberapa risiko seperti tekanan harga yang meningkat dan kekangan bekalan yang berpanjangan boleh menjejaskan permintaan akhir dan prospek pengeluaran.
"Selain daripada kemerosotan rantaian bekalan global memandangkan ketidakpastian daripada perang yang berterusan di Ukraine dan di tengah-tengah kekurangan bahan dan input yang berterusan, kemungkinan kelembapan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah boleh menjejaskan pertumbuhan
global,” jelasnya.
Walaupun ia tidak mengubah unjuran IPI, firma tersebut berkata, pertumbuhan IPI adalah lebih rendah daripada jangkaannya dan jangkaan pasaran berikutan kejatuhan mendadak dalam pengeluaran sektor perlombongan.
"Berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia yang meningkat sedikit kepada 50.4 pada Jun 2022 (Mei 2022: 50.1), aktiviti dalam sektor pembuatan Malaysia adalah lebih baik sedikit pada bulan lepas dengan penstabilan pada pengeluaran didorong pertumbuhan berterusan dalam pesanan baharu," katanya.
Dalam pada itu, Kenanga Research menyemak turun unjuran indeks pembuatan tahun ini kepada 5.5% berbanding 7% sebelum ini.
Menurutnya, pertumbuhan indeks pembuatan mungkin berkurangan sedikit tahun ini berikutan penguncupan yang lebih dalam daripada jangkaan pada April dan Mei.
"Ini berikutan perdagangan luar yang lebih lemah disebabkan isu rantaian bekalan global yang berpanjangan di tengah-tengah penutupan berpanjangan China dan perang Rusia-Ukraine.
"Namun begitu, kami masih menjangkakan pertumbuhan pembuatan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan ini dapat dilihat sedikit peningkatan dalam PMI Malaysia pada Jun (50.4 berbanding Mei: 50.1)," katanya. - DagangNews.com








