Gamuda raih projek pengangkutan jalan raya bernilai RM3.03 bilion di Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda raih projek pengangkutan jalan raya bernilai RM3.03 bilion di Australia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Dis - Gamuda Bhd. menerusi Gamuda Australia memperoleh projek pengangkutan jalan raya utama daripada New South Wales (NSW) bernilai A$1.029 bilion (RM3.03 bilion).

 

Usaha sama 60:40 antara John Holland dan Gamuda Australia telah dianugerahkan kontrak untuk melaksanakan Pakej Kerja Black Hill kepada Tomago bagi penyambungan Lebuh Raya M1 ke Raymond Terrace.

 

Menurut Gamuda, perolehan kontrak itu dijangka menyumbang hasil sebanyak RM1.21 bilion kepada kumpulan. 

 

Katanya, projek tersebut yang dijangka bermula pada pertengahan 2023, akan mewujudkan inisiatif faedah sosial dalam komuniti tempatan dan Wilayah Hunter NSW yang lebih luas semasa tempoh pembinaan.

 

"Kerja-kerja bagi projek ini termasuk 10 kilometer (km) lebuh raya berkembar greenfield antara Lebuhraya M1 di Beresfield dan Tomago, persimpangan utama di Black Hill, Tarro dan Tomago.

 

"Selain itu juga membabitkan pembinaan sembilan jambatan, termasuk jejambat sepanjang kira-kira 2.6km merentasi Sungai Hunter dan dataran banjir," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

John Holland merupakan salah satu syarikat terkemuka di Australia dalam pembinaan bangunan, infrastruktur, kereta api dan pengangkutan.

 

Syarikat induknya, CCCI, ialah anak syarikat milik penuh China Communications Construction Company Limited (CCCC), yang tersenarai dwi di Bursa Saham Hong Kong dan Shanghai.

 

John Holland kini sedang menjalankan banyak projek infrastruktur terbesar di Australia – daripada Terowong Metro Melbourne dan Metro Sydney kepada Projek Hidro Penyimpanan Pam Kidston yang pertama di Australia di Queensland serta projek jalan Sydney Gateway, Jambatan Teluk Batemans dan jalan penting lain, projek pembaharuan air, hartanah dan bandar.

 

Gamuda memberitahu, bahagian projek yang paling kompleks ialah jejambat sepanjang 2.6km yang merentangi dataran banjir dan menyediakan lintasan baharu di atas Sungai Hunter.

 

"Namun, risiko pelaksanaan projek ini akan dikurangkan melalui penyiasatan geoteknikal yang komprehensif dan menggunakan teknik mantap pemasangan komponen cerucuk dan jambatan yang biasa digunakan di Australia,” jelasnya.

 

Secara keseluruhan, ia menjangkakan projek itu akan menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023. - DagangNews.com