Gamuda raih kontrak bina landasan kereta api bawah tanah di Taiwan bernilai RM2.13 bilion | DagangNews Skip to main content

Gamuda raih kontrak bina landasan kereta api bawah tanah di Taiwan bernilai RM2.13 bilion

Stesen Kaohsiung, Taiwan yang dibina oleh Gamuda. - Gambar GAMUDA
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - Gamuda Bhd. memperoleh kontrak pembinaan bagi projek kereta api bawah tanah sepanjang 3.734 kilometer (km) di Taiwan bernilai RM2.13 bilion.

 

Ia memperoleh kontrak itu bersama Asia World Engineering & Construction Co. (AWEC) bagi Pakej CJ18 Stesen Komuter PingZhen di Taoyuan City daripada Biro Kereta Api, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kontrak itu merangkumi pembinaan landasan kereta api berkembar bawah tanah dengan stesen komuter bawah tanah di PingZhen yang terletak di bawah stesen kereta api sedia ada.

 

Jajaran bawah tanah baharu itu akan mengoptimumkan dan menggalakkan penggunaan tanah yang cekap di Daerah PingZhen.

 

Projek yang dianugerahkan kepada Gamuda dan AWEC akan dilaksanakan oleh usaha sama dengan masing-masing 60:40 yang tidak diperbadankan terdiri daripada Gamuda dan AWEC.

 

"Kontrak tersebut akan memakan masa selama lapan tahun dijangka menyumbang sebanyak RM1.28 bilion kepada hasil Gamuda. 

 

"Malah, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023," katanya.

 

AWEC merupakan syarikat yang diperbadankan di Taiwan dan mempunyai modal berbayar sejumlah NTD651 juta (RM96 juta), yang terlibat dalam akviti pembinaan awam khusus dalam Geoteknik, Hidraulik, Seni Bina dan Kejuruteraan Awam.

 

Antara projek yang dilaksanakannya termasuklah projek kereta api bawah tanah MRT Kaohsiung & Kaohsiung City serta projek jambatan Taipei City XinZhuang District ZhongHua & ZhongYuan Road.

 

Menurut Gamuda, dengan perkembangan pesat bandar TaoYuan baru-baru ini, kerajaan tempatan TaoYuan sedang mengembangkan pelan infrastruktur secara strategik termasuk menaik taraf perkhidmatan komuter dengan penempatan semula landasan dan stesen kereta api dari atas ke bawah tanah.

 

Kumpulan mengenal pasti masalah kekurangan buruh yang dihadapi ketika ini sebagai risiko utama dalam pelaksanaan projek tersebut. 

 

"Namun, secara dasarnya, projek ini akan menggalakkan mobiliti bandar yang lebih selamat dan boleh dipercayai serta mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh penduduk di TaoYuan apabila siap kelak," jelasnya.

 

Dalam penutupan petang ini, saham Gamuda menokok 8 sen atau 2.08% kepada RM3.93 dengan 5.14 juta saham diniagakan. - DagangNews.com