Gamuda dilihat berpeluang raih 'habuan terbesar' dalam projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

Gamuda dilihat berpeluang raih 'habuan terbesar' dalam projek MRT3

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mei - Gamuda Bhd. dijangka meraih kontrak terbesar dalam projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) berdasarkan pengalaman dan kepakarannya dalam projek terowong terutamanya menerusi MRT1 dan MRT2, menurut MIDF Research. 

 

Firma itu berkata, syarikat pembinaan itu dilihat paling layak untuk mendapatkan kontrak bagi pakej CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.

 

Ia menganggarkan pakej tersebut bernilai RM14.29 bilion, menjadikannya kontrak paling besar dalam projek MRT3, yang dijangka menelan kos sebanyak RM31 bilion. 

 

"Gamuda dilihat berada dalam kedudukan yang lebih bersedia untuk menjalankan projek berkenaan, dengan melihat kepada usaha sama MMC-Gamuda dengan pengalaman luas dalam projek MRT1 dan MRT2.

 

"Tambahan pula, kumpulan pada awal tahun ini, memperoleh kontrak bernilai RM6.5 bilion bagi projek terowong di Sydney manakala RM1.45 bilion bagi kontrak membina stesen dan 2 terowong di Singapura, bersama rakan usaha sama di negara itu, sekali gus membuktikan kepakarannya dalam kerja-kerja terowong," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum itu, pada 4 April lalu, Gamuda turut menerima tawaran tambahan daripada Amanat Lebuhraya Rakyat untuk mengambilalih konsesi tol 4 lebuh raya bernilai RM5.48 bilion.

 

"Ini akan menyaksikan kumpulan menerima hasil tunai sebanyak RM2.3 bilion, yang membolehkannya mengukuhkan lembaran imbangan kepada kedudukan tunai bersih sebanyak RM584 juta, meletakkannya pada kedudukan yang menggalakkan untuk keperluan pembiayaan pendahuluan untuk kerja-kerja MRT3," jelasnya.

 

 

Gamuda

 

 

Selain CMC303, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) pada Jumaat lalu, turut membuka 2 lagi pakej tender membabitkan projek MRT3 kepada kontraktor yang layak.

 

Tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

MIDF Research menganggarkan pakej CMCO1 dan CMC02 masing-masing brenilai RM2.79 bilion dan RM13.94 bilion.

 

Namun, katanya, unjuran bagi ketiga-tiga pakej berkenaan hanya akan dimuktamadkan oleh MRT Corp selepas pelaksanaan tender. 

 

"Secara keseluruhan, walaupun kuantum kos pembinaan MRT3 mungkin serupa dengan MRT2, ia adalah kira-kira 18.5% lebih tinggi, yang nampaknya adalah wajar, dengan mengambil kira kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, serta lonjakan harga bahan mentah baru-baru ini," tambahnya.

 

Pada masa sama, firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa saiz sebenar kontrak MRT3 mungkin lebih tinggi.

 

"Ini berdasarkan kepada projek MRT2 yang mempunyai bahagian tinggi sepanjang 44.2 kilometer (km) dan 13.5 km bagi bahagian bawah tanah, berbanding MRT3 dengan bahagian tinggi sepanjang 39km dan 11.2 km bagi bahagian bawah tanah," katanya. 

 

info MRT3

 

 

Menurut MIDF Research, selain Gamuda, syarikat pembinaan lain, seperti IJM Corp. Bhd. dan Sunway Construction Bhd. juga menyatakan minat mereka untuk menyertai tender bagi pakej CMC302 dan CMC301.

 

Katanya, adalah menarik untuk melihat persaingan kedua-dua syarikat ini kerana mereka amat berdaya maju bagi merebut pakej berkenaan. 

 

"Malah, kedua-dua juga telah mula merangka strategi untuk tender masing-masing kerana ia memerlukan rakan kongsi, berikutan keperluan wajib penglibatan kontraktor bumiputera," jelasnya.

 

Firma itu juga mendapati, Kerjaya Prospek Group Bhd. turut menyatakan minat untuk menyertai tender berkenaan, berdasarkan kepada perancangan kumpulan untuk mengembangkan keupayaannya, antara lain termasuklah projek infrastruktur. 

 

Melihat kepada prospek cerah sektor pembinaan di negara ini apabila projek MRT3 dihidupkan semula, membolehkannya mengekalkan pandangan 'positif'.

 

"Kebangkitan semula projek MRT3 ini telah menyuntik keyakinan yang tinggi dalam sektor ini dan kami percaya, ia mungkin menjadi permulaan untuk menghidupkan semula projek mega yang ditamatkan selepas pertukaran kerajaan pada 2018," katanya. 

 

Malah, ia percaya tender bagi kontrak berkenaan akan dianugerahkan pada suku keempat tahun ini dengan aktiviti pembinaan dijangka meningkat pada suku pertama 2023.

 

"Ini menjadikan syarikat pembinaan mempunyai projek sehingga 2030 dengan tambahan nilai kontrak yang kukuh dan mampu memberi pendapatan kepada syarikat," jelasnya.

 

MIDF Research memberi saranan 'trading buy' kepada Gamuda dengan harga sasaran (TP) pada RM3.89 diikuti IJM Corp. ('beli', TP RM2.18) dan Sunway Construction ('beli', TP RM1.87). - DagangNews.com.