KUALA LUMPUR 7 April - Gagasan Nadi Cergas Bhd. hari ini melancarkan 1,260 unit Rumah Idaman di Bukit Jelutong, Shah Alam (Idaman Bukit Jelutong) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM304 juta.
Pelancaran itu adalah sejajar dengan sasaran kumpulan untuk menyiapkan lebih daripada 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan kukuh di negara ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, pelancaran Idaman Bukit Jelutong memberi peluang kepada B40 dan M40 rendah untuk memiliki kediaman di kawasan Shah Alam.
Katanya, sejak pendaftaran projek itu, syarikat telah menerima 3 kali lebih banyak pendaftaran daripada unit yang ditawarkan.
"Sambutan menggalakkan ini merupakan petunjuk jelas bahawa permintaan untuk rumah mampu milik adalah berdaya tahan, terutamanya di lokasi strategik seperti Bukit Jelutong, Shah Alam.”
"Ini memberi kami keyakinan untuk melancarkan pembangunan rumah mampu milik seterusnya, bermula dengan Idaman Elmina West di Shah Alam pada separuh kedua 2022.
"Komitmen ini bagi menyokong sasaran Kerajaan Negeri Selangor untuk membina 30,000 rumah mampu milik menjelang 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek Idaman Bukit Jelutong itu dimulakan dengan sokongan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk menyediakan rumah mampu milik kepada segmen penduduk dalam jumlah yang ramai di Selangor.
Ia ditawarkan pada RM250,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi, 3 bilik tidur dan 2 bilik air beserta 2 ruang tempat letak kenderaan.
Kerja-kerja pembinaan bagi projek itu akan bermula pada suku kedua 2022 dan dijangka siap menjelang suku keempat 2025.
Selain itu, projek Idaman Elmina West merangkumi 1,500 unit rumah mampu milik dengan GDV RM370 juta.
Kedua-dua projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22). - DagangNews.com








