KUALA LUMPUR 12 Okt - G Capital Water Solutions Sdn. Bhd. dilantik sebagai pakar sumber hasil bukan air bagi projek Pengesanan Kebocoran 70KM dan Pemeriksaan Paip untuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak – Kota Samarahan.
Anak syarikat pegangan 51% milik G Capital Bhd. itu menerima surat anugerah daripada Exxor Technologies Sdn. Bhd., yang merupakan kontraktor utama projek tersebut.
"Projek ini akan dimulakan, diuruskan dan dibiayai oleh JBALB dan dianggarkan selesai dalam tempoh dua bulan bermula Oktober 2022," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Exxor Technologies secara dasarnya membekalkan dan memasang peralatan jentera perindustrian.
G Capital menjangkakan projek tersebut akan menyumbang secara positif keapda pendapatan kumpulan tanpa sebarang impak material terhadap aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Dalam penutupan petang ini, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 1.06% kepada 47.5 sen dengan 251,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








