KUALA LUMPUR 6 Okt - G Capital Bhd. menerusi anak syarikatnya, Solarcity Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar (PPA) dengan Aryzta Food Solutions Malaysia Sdn. Bhd. selama 25 tahun.
Anak syarikat pegangan 70% miliknya itu akan membekalkan tenaga solar fotovoltaik (PV) kepada Aryzta menerusi sistem penjanaan tenaga dengan jumlah kapasiti 1,100 KWp ke premis Aryzta di Taman Perindustrian Pulau Indah, Selangor.
"Perjanjian ini dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Aryzta adalah anak syarikat Aryzta AG, syarikat senaraian awam yang disenaraikan di Swiss Exchange, diperbadankan dan berpangkalan di Switzerland.
Kumpulan syarikat terbabit terutamanya dalam mengeluarkan dan menjual produk bakeri. Ia beroperasi di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.
Secara dasarnya, Aryzta terlibat dalam penyediaan perkhidmatan dan pemprosesan makanan termasuk trading dan makanan sejuk beku. - DagangNews.com








