KUALA LUMPUR 5 Jun - Funding Societies menjalinkan kerjasama dengan Good Foodie Media bagi menawarkan pelan ansuran kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mendapatkan khidmat pemasaran digital.
Kerjasama itu membolehkan PKS yang terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B), gaya hidup serta hiburan mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000 melalui pelan bayaran ansuran.
Dengan lebih 100 juta pengguna bulanan di seluruh Asia Tenggara, saluran Foodie seperti KL Foodie, Penang Foodie dan Singapore Foodie sangat berpengaruh.
Sebagai sebahagian daripada program Pusat Kecemerlangan Pengasas (FOX) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Good Foodie Media menyasarkan untuk menghubungkan perniagaan F&B dengan pelanggan menerusi pasukan pencipta kandungan tempatan dan kehadiran media sosial yang kukuh.
Menerusi kerjasama itu, perniagaan boleh membeli perkhidmatan kandungan daripada Foodie pada pelan ansuran tiga bulan sehingga RM50,000 dan hanya perlu mengemukakan dua set dokumen pengenalan (pengarah dan syarikat) dan penyata bank selama enam bulan untuk memohon secara digital pelan ansuran patuh syariah.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, sektor perkhidmatan menyaksikan hasil meningkat kepada RM2.3 trilion pada 2023, meningkat 8.4% berbanding RM2.1 trilion pada 2022, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Beliau berkata, bagaimanapun, terdapat subsektor yang masih belum melepasi nilai hasil pra pandemik iaitu F&B dan seni, hiburan serta rekreasi.
"Akses kepada aliran tunai dan rumusan pemasaran serta pengiklanan digital adalah penting bagi membantu perniagaan terutamanya PKS, untuk terus pulih selepas pandemik.
"Kerjasama Funding Societies dengan Good Foodie Media menggabungkan dua perkara utama untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan meningkatkan skala PKS yang layak kredit dan kurang mendapat perkhidmatan dalam industri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Good Foodie Media, Lim Pinn Yang berkata, selain liputan percuma, pihaknya menawarkan pakej pemasaran digital mampu milik dan rumusan pengiklanan kepada PKS.
Beliau berkata, banyak peniaga mencatatkan peningkatan hasil hamper tiga kali ganda selepas mendapat liputan daripada mereka.
"Menerusi kerjasama itu, kami ingin meningkatkan lagi kebolehcapaian pakej kami untuk perniagaan baharu. Kini PKS boleh mendapatkan khdimat kami menerusi pembayaran secara ansuran bulanan
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Funding Societies dan membantu lebih banyak PKS di Malaysia," katanya. - DagangNews.com








