KUALA LUMPUR 28 Julai – Fujifilm Malaysia telah melancarkan INSTAX mini Evo (mini Evo) versi coklat baharu yang berharga RM928 dan didatangkan dengan port pengecasan USB Type-C.
Mini Evo yang boleh didapati dalam warna coklat dan hitam ini merupakan kamera segera hibrid yang menggabungkan teknologi digital, dan menyokong ‘filem format mini’ bersaiz kad.

“Dikeluarkan pada tahun 2021, kamera ini telah menjadi buah mulut sensasi global disebabkan sifat hibrid keupayaan analog dan digitalnya.
“Ia didatangkan dengan sepuluh efek kanta termasuk ‘Soft Focus’ dan ‘Light Leak’ serta sepuluh efek filem termasuk ‘Monokrom’ dan ‘Retro.’
“Kedua-dua jenis efek ini boleh digabungkan secara bebas untuk mencipta 100 efek pengambilan gambar yang berbeza supaya pengguna dapat meluahkan emosi mereka melalui cetakan instax,” kata Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane.

Dengan reka bentuk badan kamera yang premium dan klasik, ia boleh dikendali secara analog dengan penggunaan lensa dail, filem dail dan tuil cetak.
Pengguna boleh menghubungkan kamera ke telefon pintar menggunakan aplikasi khusus untuk mencetak imej yang diambil pada telefon pintar.
Foto yang dicetak dengan Evo mini juga boleh disimpan sebagai imej berbingkai instax dalam telefon pintar untuk perkongsian mudah di media sosial.

Di samping itu, pengguna boleh mendapatkan sarung kamera berwarna coklat untuk disepadankan dengan kamera tersebut.
Sempena pelancaran variasi warna baharu ini, Fujifilm akan menarik lebih ramai pembeli dengan Evo mini melalui media sosial, dalam talian dan kedai runcit. - DagangNews.com








