Frontken catat untung bersih RM26.51 juta pada Q1 dipacu pertumbuhan segmen semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frontken catat untung bersih RM26.51 juta pada Q1 dipacu pertumbuhan segmen semikonduktor

KUALA LUMPUR 10 Mei - Untung bersih Frontken Corp Bhd. meningkat 15.71% kepada RM26.51 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1) berbanding RM22.91 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu didorong hasil dan margin keuntungan yang lebih baik berikutan usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan di seluruh kumpulan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 15.1% kepada RM119.15 juta daripada RM103.52 juta terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih besar menerusi anak syarikatnya di Taiwan dan Malaysia.

 

Ia mendapati jumlah dagangan dalam ruang semikonduktor meningkat dengan ketara disebabkan permintaan yang lebih tinggi dan pesanan kukuh daripada salah satu cip nod termaju pelanggannya, yang memanfaatkan anak syarikatnya di Taiwan.

 

Di peringkat domestik pula, peningkatan dalam perniagaan tempatan sebahagian besarnya disumbangkan menerusi tempahan baharu untuk penyediaan bekalan tenaga kerja dan perkhidmatan peralatan berputar mekanikal daripada pelbagai kontrak yang dimilikinya dengan kumpulan syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

 

Bagaimanapun, anak syarikatnya di Singapura mencatatkan hasil yang lebih rendah sedikit berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan kekurangan tenaga buruh ekoran langkah keselamatan bagi mengekang penularan COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan di negara tersebut.

 

Frontken menyifatkan ia mencapai satu lagi suku pertama yang luar biasa berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan ketara dalam perniagaan semikonduktor.

 

Mengenai prospek kumpulan, Frontken percaya unjuran peningkatan ketara dalam pengeluaran oleh syarikat semikonduktor dan permintaan tinggi yang berterusan terhadap cip adalah positif untuk perniagaannya pada tahun-tahun akan datang. 

 

"Bagi industri minyak dan gas pula, kumpulan optimis tetapi berhati-hati terhadap perniagaannya akan lebih kukuh berbanding tahun lalu disebabkan peningkatan permintaan yang sebahagiannya disebabkan oleh gangguan dalam bekalan minyak dan gas global," jelasnya. - DagangNews.com