F&N dijangka berdepan tekanan margin sehingga FY23, Kenanga Research kurangkan TP kepada RM26.30  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

F&N dijangka berdepan tekanan margin sehingga FY23, Kenanga Research kurangkan TP kepada RM26.30 

Gambar : Facebook F&N
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 April - Kenanga Research mengurangkan harga sasaran (TP) Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) kepada RM26.30 daripada RM34.35 sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'outperform'. 

 

Firma itu menjangkakan F&N akan terus berdepan tekanan margin sehingga tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23) ekoran kos input dan perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, katanya, jualan dijangka kekal kukuh pada suku berikutnya didorong pembukaan semula ekonomi.

 

"Oleh itu, kami menyemak naik hasil bagi FY22 sebanyak 10% (disebabkan impak Cukai Makmur yang lebih rendah) kepada RM330 juta. 

 

"Tetapi, kami mengurangkan unjuran hasil bagi FY23 sebanyak 22% kerana kami mengurangkan margin keuntungan kasar sebanyak 3 mata peratus setelah mengambil kira kos yang lebih tinggi bagi capex susulan pengambilalihan Ladang Permai Damai," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

F&N mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM93.87 juta pada suku kedua berakhir 31 Mac 2022 daripada RM103.51 juta di tengah-tengah tekanan harga komoditi dan terjemahan pertukaran asing yang tidak menggalakkan.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM1.11 bilion daripada RM1.09 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan momentum positif daripada pemulihan aktiviti ekonomi di Malaysia mengimbangi permintaan yang lembap di Thailand yang terjejas akibat varian Omicron.

 

Sementara itu, hasil makanan dan minuman Thailand dari segi bhat merosot sedikit sebanyak 1%, manakala hasil dari segi ringgit lebih terjejas sebanyak -6.5%.

 

Menurut Kenanga Research, walaupun F&N dijangka menyaksikan hasil yang lebih kukuh tetapi ia masih berdepan dengan risiko kos input.

 

"Peningkatan kos input menjadi satu-satunya faktor yang melembapkan prospek F&N, dengan penunjuk utama menunjukkan harga input hanya kembali surut pada separuh kedua 2022," tambahnya.

 

Setakat 9.51 pagi ini, harga saham F&N susut 16 sen atau 0.7% kepada RM22.84 dengan 13,300 saham diniagakan. - DagangNews.com