F&N cadang ambil alih Cocoaland sepenuhnya dengan nilai RM488.15 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

F&N cadang ambil alih Cocoaland sepenuhnya dengan nilai RM488.15 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jun - Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) bercadang untuk menjadikan syarikat bersekutunya, Cocoaland Holdings Bhd. sebagai syarikat persendirian dengan membeli baki saham tidak dimilikinya pada RM1.50 sesaham melibatkan pertimbangan tunai berjumlah RM488.15 juta.

 

Langkah itu membabitkan pengambilalihan 325.41 juta saham Cocoaland yang dimiliki skim pemegang saham, mewakili 72.34% dariapda modal saham syarikat.

 

Secara dasarnya, syarikat makanan dan minuman itu memiliki 124.42 juta saham dalam Cocoaland, mewakili 27.66% pegangan.

 

"Bagi pihak lembaga pengarah F&N, AmInvestment Bank Bhd. ingin mengumumkan bahawa syarikat (F&N) hari ini (3 Jun) telah mengemukakan cadangan rasmi (surat cadangan) kepada lembaga pengarah Cocoaland berhubung cadangan penswastaan untuk pertimbangannya.

 

"Lembaga pengarah Cocoaland akan memberikan keputusan kepada F&N selewat-lewatnya 5 petang pada 17 Jun 2022, mengenai sama ada untuk mengemukakan cadangan penswastaan kepada pemegang saham untuk pertimbangan mereka.," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

F&N menjangkakan tanpa sebarang perkara tidak dijangka dan tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah Cocoaland, langkah tersebut akan selesai pada suku keempat 2022.

 

Menerusi cadangan tersebut, F&N tidak berhasrat untuk meneruskan status penyenaraian Cocoaland setelah langkah tersebut selesai.

 

"Tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities), saham Cocoaland akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Securities.

 

"Ia akan menyaksikan Coacoland menjadi anak syarikat milik penuh F&N," jelas syarikat itu.

 

Kumpulan juga mengesahkan bahawa cadangan penswastaan itu tidak akan gagal disebabkan ketidakupayaan kewangan F&N membayar jumlah pertimbangan tunai kerana ia bercadang untuk membiayai langkah itu melalui pinjaman bank.

 

F&N menjelaskan langkah tersebut adalah sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk muncul sebagai peneraju makanan dan minuman yang stabil dan mampan di ASEAN, dengan makanan berbungkus halal sebagai tonggak pertumbuhan keempatnya.

 

Katanya, pelaburan itu akan menambah jenama manisan dan snek Malaysia yang mampan kepada portfolio jenama terkenal F&N, dan pada masa sama berfungsi sebagai platform untuk membina dan berkembang dalam segmen makanan berbungkus yang lain.

 

"F&N percaya penyertaan Cocoaland dalam kumpulan akan memperluaskan langkah pengembangan ke pasaran luar negara," katanya.

 

Cocoaland telah diperbadankan di Malaysia pada 6 Jun 2000 sebagai sebuah syarikat awam berhad dan disenaraikan di Papan Kedua Bursa Securities pada 18 Januari 2005. Kemudiannya dipindahkan ke Papan Utama (kini dikenali sebagai Pasaran Utama) Bursa Securities pada 18 Julai 2006.

 

Aktiviti utamanya ialah sebagai syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak syarikatnya, Cocoaland terlibat dalam aktiviti seperti pembuatan dan perdagangan semua jenis makanan dan buah-buahan yang diproses dan diawet.

 

Ia juga terlibat dalam pemborongan dan peruncitan makanan yang diproses dan diawet serta pemborong, import dan eksport gula-gula getah dan produk lain. - DagangNews.com