Fleksibiliti dalam sektor awam, bantu agensi kerajaan berdaya maju - Deloitte  | DagangNews Skip to main content

Fleksibiliti dalam sektor awam, bantu agensi kerajaan berdaya maju - Deloitte 

Agensi kerajaan harus menjalankan eksperimen dan membina ekosistem yang lebih luas. - Gambar : Unsplash/karya Ishan

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kerajaan perlu memperkukuhkan penyelesaian pantas dalam sektor awam dengan bekerjasama menangani cabaran berkaitan pandemik, daripada kesihatan awam hinggalah kepada pemulihan ekonomi.

 

Pengarah Eksekutif Penasihat Risiko Deloitte Malaysia, Muzafar Kamal berkata, sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan di seluruh dunia telah memajukan peraturan mereka dengan ketara, memendekkan tempoh pemeriksaan serta mengguna pakai 'undang-undang yang bertimbang rasa' untuk membimbing tindak balas mereka terhadap pandemik. 

 

Katanya, ini membawa kepada keperluan untuk menyelaraskan dan mempercepatkan proses maklum balas apabila badan kawal selia berinovasi secara serentak.

 

"Peralihan kepada kerja jarak jauh yang dicetuskan oleh pandemik telah mengukuhkan tanggapan bahawa kerja boleh dilakukan di luar persekitaran pejabat.

 

"Hasilnya, agensi kerajaan sedang menguji model hibrid baharu dengan pekerja bekerja dari rumah dua hingga tiga hari seminggu. Pandemik ini juga telah memberi banyak inisiatif tenaga kerja yang fleksibel. 

 

"Bagi memastikan fleksibiliti ini dapat dikekalkan dalam jangka panjang, agensi kerajaan harus menggunakan pendekatan baharu untuk membawa perubahan struktur dan budaya kepada proses kerja di sektor awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan usaha untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan menyediakan garis panduan mengenai pengaturan kerja yang fleksibel, termasuk bekerja dari rumah selaras dengan norma baharu akibat pandemik COVID-19.

 

Malah, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, terdapat 12 toolkit untuk kategori berbeza telah digariskan bagi memastikan kedua-dua majikan dan kakitangan memahami aturan itu di samping menggalakkan keseimbangan kerja dan rutin harian dalam kalangan pekerja.

 

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia turut mewujudkan Financial Technology Enabler Group (FTEG) bagi menyokong inovasi dalam pasaran teknologi kewangan (fintech).

 

Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), salah satu usaha FTEG, diperkenalkan untuk membolehkan teknologi fintech baharu diuji dan diserahkan dalam persekitaran secara langsung.

 

Menurut Muzafar, kerajaan Malaysia berpandangan bahawa pengembangan pengaturan kerja yang fleksibel seperti amalan bekerja dari rumah boleh membantu syarikat meneruskan aktiviti ekonomi dan menawarkan faedah lebih baik, terutama dalam tempoh pemulihan ini.

 

"Apabila berjaya dilaksanakan secara global, perubahan ini akan membuka pintu kepada fleksibiliti dan mendorong kepada pendigitalan yang lebih besar," jelasnya.

 

Bagi mengekalkan fleksibiliti dalam jangka panjang, beliau berkata, agensi kerajaan harus menjalankan eksperimen, membina ekosistem yang lebih luas, membina fleksibiliti ke dalam proses dan menyemai budaya kepantasan.

 

"Apabila kerajaan lebih tangkas, mereka dapat menggunakan cara baharu bekerja dalam ekonomi digital dan kekal berdaya maju dalam menghadapi perubahan dan ketidaktentuan," tambah beliau. - DagangNews.com