Finas utamakan agenda bela nasib penggiat seni, tingkatkan imej filem tempatan | DagangNews Skip to main content

Finas utamakan agenda bela nasib penggiat seni, tingkatkan imej filem tempatan

Prof. Md. Nasir Ibrahim berbual dengan Ogy Ahmad Daud dalam satu sesi libat urus bersama pemain industri, baru-baru ini. - Gambar Finas
Oleh FAIZAL ZAKARIA

SEJAK ditubuhkan pada 26 Julai 1980 sehingga kini, telah banyak yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam memartabatkan industri filem tanah air.

 

Dalam usia 42 tahun penubuhannya juga, ramai di antara kita yang sudah menyaksikan jatuh bangun agensi tersebut selepas penerajunya saling silih berganti sebagai usaha mengekalkan imej Finas sebagai peneraju industri filem tempatan.

 

Bagi Prof. Md. Nasir Ibrahim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, beliau mempunyai misi dan visi yang tersendiri dalam membawa Finas terus ke hadapan selain bagi  meningkatkan martabat industri filem negara.

 

Antaranya adalah berkaitan soal pembangunan Finas yang dilihat perlu dilakukan secara berterusan agar dapat memenuhi permintaan dan kehendak industri.


 

Prof. Md. Nasir Ibrahim
                                               Prof. Md. Nasir Ibrahim

 


“Semua misi dan visi yang ingin dicapai itu telah saya gariskan dalam pelan strategik lima tahun yang telah saya bentangkan sebelum ini.

 

“Sebenarnya terlalu banyak perkara yang saya ingin laksana dan capai dalam tempoh lima tahun itu, tetapi saya tidak pasti adakah khidmat saya masih diperlukan selepas tempoh dua tahun ini.

 

“Jika tidak, saya berharap pengganti saya nanti dapat melihat semula pelan strategik tersebut dan meneruskannya, termasuk memberi penambahbaikan agar matlamat asal penubuhan Finas dapat dicapai dan dijayakan,” ujarnya.

 

Menurut beliau, antara perkara utama yang ingin dilakukan adalah untuk mengekalkan kelestarian industri filem tempatan agar terus mampu bersaing, selain memastikan Finas terus dapat memainkan peranannya dengan baik.


 

finas

 


Dalam konteks Finas katanya, beliau mahu imej korporat organisasi ini lebih berketerampilan, cara kerja lebih efisien dan efektif dan mengurangkan karenah birokrasi yang ada.

 

Malah, beliau juga mahu Finas bergerak berkonsepkan ‘customer centered’ agar pelanggan dapat berurusan dengan lebih mudah dan cepat menerusi sistem-sistem yang telah kita bangunkan.

 

“Untuk industri pula, kita mahu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dari semasa ke semasa menerusi inisiatif dan program-program penambahbaikan agar imej filem tempatan dapat ditingkatkan dan mampu bersaing di peringat antarabangsa,” katanya.

 

Menyentuh soal imej filem tempatan, beliau memberitahu, sebagai sebuah badan yang terikat dengan kawal selia dan pembangunan industri filem, Finas mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan setiap kandungan yang dihasilkan menepati nilai-nilai murni yang telah ditetapkan.

 

Justeru katanya, pelbagai inisiatif telah dan akan diteruskan terutamanya membaitkan program-program dan kempen kesedaran bagi mendidik pemain industri agar terus peka dan bertanggungjawab dalam memastikan kandungan yang dipaparkan dalam karya masing-masing boleh menjana minda dan menerapkan nilai-nilai yang baik untuk dijadikan ikutan.


 

finas
Prof. Md. Nasir Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada Datuk Shahar Abdullah disaksikan Pengerusi Finas, Datuk Seri Zurainah Musa pada sesi TownHall Bagi Sesi Libat Urus Bajet 2023 baru-baru ini.



 

Dalam konteks kawal selia terhadap platform lain seperti media sosial dan saluran antarabangsa seperti Netflix dan sebagainya, beliau memberitahu kerajaan perlu memainkan peranan tersebut untuk menyekat kandungan yang dianggap bertentangan dan boleh meruntuhkan moral masyarakat Malaysia.

 

Dalam pada itu, menurut Md. Nasir, Finas turut memandang berat soal kebajikan dan masa depan penggiat seni perfileman negara termasuk berkaitan pembayaran royalti.

 

Ini kerana jelas beliau, masih ramai yang hilang punca pendapatan selepas tidak lagi bergiat aktif dalam industri sedangkan mereka merupakan antara penyumbang kepada kejayaan sesebuah karya sebelum ini.

 

“Saya nampak ada dua perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mereka iaitu pertama berhubung soal royalti dan kedua ialah soal kebajikan dalam kerjaya.

 

“Saya sudah dapatkan pandangan daripada penggiat seni tempatan dan antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan mewujudkan sebuah sistem yang boleh mengesan jumlah royalti yang perlu diberikan kepada setiap mereka yang terlibat dalam sesebuah karya, daripada penerbit, pengarah, pelakon, hinggalah kepada kru penerbitan.


 

finas
Prof. Md. Nasir Ibrahim menziarahi seorang daripada pemain industri perfileman negara, baru-baru ini.

 

 

“Perkara kedua ialah berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga insurans di bawah Perkeso (Pertubuhan Kebajikan Sosial) kerana kita mahu pemain industri ini mempunyai simpanan dan jaminan masa depan walaupun bila sudah tidak aktif dalam industri,” katanya.

 

Jelas Md. Nasir lagi, pada masa ini Finas turut berhasrat mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk melakukan perniagaan bagi meraih pendapatan sendiri.

 

BACA JUGA: Prof Dr  Md Nasir terima kritikan bantu cari penyelesaian lebih baik

 

Finas fokus usaha naik taraf aset, pembaharuan Akta 1981

 

Jelasnya, perkara itu berkait rapat dengan pindaan Akta Finas 1981 yang kini dalam proses akhir kajian.

 

“Jika diberi kebenaran, kita boleh mempunyai cabang perniagaan sendiri yang berkait dengan industri perfileman seperti menawarkan sewaan studio dan peralatan pada kadar yang berpatutan.

 

“Kemudahan itu nanti bukan sahaja dapat digunakan oleh pemain-pemain industri sedia ada, tetapi juga oleh mereka yang baru ingin menceburi industri termasuk penyedia kandungan media sosial, institusi pengajian tinggi dan lain-lain pihak.

 

 

finas
Bilik prebiu dan mastering Finas juga telah dilengkapi kemudahan terbaik di negara ini. - Gambar Finas

 

 

“Jika sudah ada perniagaan sendiri, Finas tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya dengan dana daripada kerajaan untuk bergerak, terutama bagi tujuan penyediaan kemudahan studio dan peralatan penggambaran yang canggih dan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Menurut beliau, Finas bukan berniat untuk bersaing dengan mana-mana pihak yang sudah menawarkan perkhidmatan sewaan peralatan dan studio di negara ini, tetapi lebih kepada ingin menawarkan perkhidmatan yang lebih baik sebagai pilihan kepada penggiat seni tempatan. – DagangNews.com