FBM KLCI Bursa Malaysia dijangka tidak terkesan sekiranya GST kembali diperkenalkan | DagangNews Skip to main content

FBM KLCI Bursa Malaysia dijangka tidak terkesan sekiranya GST kembali diperkenalkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - FBM KLCI Bursa Malaysia dijangka tidak menghadapi sebarang kesan negatif sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

AmBank Research berkata, sektor seperti bank, minyak dan gas, telekomunikasi, tenaga, penjagaan kesihatan, sarung tangan, pemainan video dan teknologi tidak akan berhadapan sebarang impak daripada GST dan sektor berkenaan menyumbang 93.5% daripada wajaran indeks FBM KLCI.

 

Firma itu berkata, pihaknya sudah menjalankan semakan dan analisis terhadap syarikat di bawah liputan mereka terhadap potensi impak yang bakal dihadapi sekiranya GST diperkenalkan pada kadar maksimum 6%.

 

Baki wajaran 6.5% wajaran indeks FBM KLCI merangkumi sektor automotif, makanan, produk pelanggan dan peruncitan. 

 

Penanda aras indeks wajaran itu merangkumi Sime Darby Bhd, Nestle (M) Bhd and MR D.I.Y Group (M) Bhd.

 

Penganalisis AmBank Research, Alex Goh berkata, harga kenderaan dijangka meningkat antara 1% hingga 3% sekiranya GST kembali diperkenalkan manakala pengeluar makanan seperti Nestle boleh memanfaatkan bantuan kewangan kepada kumpulan B40 dan M40.

 

"Dengan mengandaikan pengenalan semula GST akan mengurangkan pendapatan teras bagi tahun kewangan 2023 (FY23) bagi ketiga-tiga syarikat ini sebanyak 10%, kami menganggarkan di bawah senario terburuk kesan 1.2% mata yang boleh diurus kepada ramalan pertumbuhan pendapatan sesaham FBM KLCI 2023 kami sebanyak 8.3% kepada 7.1%," katanya dalam satu nota kajian baru-baru ini.

 

GST mula diperkenalkan pada 1 April 2015 pada kadar 6% bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi dibatalkan pada September 2018 dan digantikan semula dengan SST oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

 

Bagaimanapun, AmBank Research bimbang pengenalan semula GST akan memberi impak kepada sektor pembangunan hartanah dan amanah pembangunan hartanah (REIT) dan sektor media yang tidak mewakili FBM KLCI.

 

"Sektor hartanah paling terdedah kepada permintaan yang lemah kesan daripada kenaikan harga produk yang tinggi. 

 

"REIT dijangka mengalami pertumbuhan jualan yang lebih perlahan dan jualan penyewa pada perbelanjaan pengguna yang berkurangan manakala sektor media mungkin mengalami penurunan perbelanjaan pelanggan dan adex (perbelanjaan pengiklanan)," katanya.

 

AmBank Research berkata, antara syarikat yang bukan FBM KLCI di bawah liputannya yang mungkin terkesan termasuk: 

  • Pengguna: Berjaya Food Berhad, Cocoaland Holdings Berhad, Mynews Holdings Berhad, Padini Holdings Berhad dan Power Root Berhad.

 

  • Automotif: Bermaz Auto Berhad, DRB-Hicom Berhad, MBM Resources Berhad, Tan Chong Motor Holdings Berhad dan UMW Holdings Berhad.

 

  • Media: Astro Malaysia Holdings Berhad, Media Prima Berhad, Lagenda Properties Berhad, S P Setia Berhad, Mah Sing Group Berhad, Sime Darby Properties Berhad, UEM Sunrise Berhad, Sunway Berhad & IOI Properties Group Berhad.