KUALA LUMPUR 12 April - Di sebalik pertumbuhan 3.9% yang dicatatkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Februari 2022, masih wujud risiko daripada persekitaran luaran yang boleh menjejaskan prospek sektor tersebut.
Antaranya, harga input yang lebih tinggi disebabkan konflik Rusia-Ukraine yang semakin tegang, boleh menghalang permintaan baharu, menurut AmInvestment Research.
Selain itu, katanya, dasar China untuk melaksanakan dasar sifar COVID-19 juga boleh memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan global yang berterusan dengan laporan penghantaran yang berpanjangan dan kekurangan bahan mentah.
"Kami juga bimbang dengan ketidaktentuan seperti kemunculan gelombang varian baharu, kekeliruan dasar di dalam negara, pelaksanaan yang perlahan dan ketidakpastian politik yang boleh menjejaskan lagi pertumbuhan.
"Oleh itu, kami mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.7% pada Februari dan 1.1% pada Januari, pada purata 0.9% untuk tempoh 2 bulan ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu berkata, dengan peralihan Malaysia kepada fasa endemik mulai 1 April 2022, ia dijangka memacu pertumbuhan domestik.
"Dengan impak positif terhadap ekonomi dan juga aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM179 bilion diluluskan pada 2021 dari segi pengembangan dan pelaburan baharu serta harga komoditi yang kukuh, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.6% tahun ini dengan kenaikan sehingga 6%," jelasnya.
Baca : Sektor pembuatan pacu pengeluaran pada Februari, berkembang 3.9%
Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan IPP Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.9% pada Februari 2022, dipacu oleh sektor pembuatan.
Pengembangan IPP itu disumbangkan oleh kenaikan 5.2% dalam indeks pembuatan dan 3.9% dalam indeks elektrik, manakala indeks perlombongan mencatatkan kemerosotan 0.4%.
Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 6.6% dipengaruhi oleh kejatuhan dalam kesemua komponen indeks.
Sementara itu, MIDF Research berkata, pertumbuhan IPP yang sederhana itu adalah pertumbuhan tahunan paling perlahan dalam tempoh 5 bulan, adalah dalam jangkaannya.
Oleh itu, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan IPP sebanyak 4.3% bagi 2022 berikutan perniagaan meningkatkan aktiviti pengeluaran untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Secara keseluruhannya, IPP mengekalkan pertumbuhan positif sejak September 2021, apabila perniagaan meningkatkan pengeluaran berikutan pembukaan semula ekonomi selepas sekatan pergerakan penuh pada tahun lalu,” katanya.
Menurut firma itu, prospek permintaan akan menjadi lebih baik pada tahun ini berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pembukaan semula ekonomi, perbelanjaan domestik yang semakin meningkat dan permintaan luar yang masih teguh.
Bagaimanapun, katanya, prospek pengeluaran jangka pendek akan tertakluk kepada risiko penurunan daripada perkembangan luaran, terutamanya konflik Rusia-Ukraine dan lanjutan sekatan pergerakan di China.
“Dengan kata lain, aktiviti perniagaan dijangka terjejas oleh cabaran daripada gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global dan kos pengeluaran yang meningkat akibat harga komoditi yang tinggi,” katanya. - DagangNews.com








