KUALA LUMPUR 6 Julai - ExecuJet MRO Services Malaysia telah menyelesaikan pemeriksaan penyelenggaraan berturut-turut pada pesawat Dassault Falcon termasuk Falcon 2000EX, Falcon 900LX, Falcon 7X dan Falcon 8X sejak awal 2023.
Menurut satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata pemeriksaan tersebut dilakukan di kemudahannya di Lapangan Terbang Subang.
Jelasnya, skop tersebut termasuk kerja baik pulih kabin ketika organisasi tersebut mengorak langkah untuk menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) lengkap kepada pengendali Falcon di rantau ini.
“ExecuJet MRO Services Malaysia terus menyaksikan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penyelenggaraannya pada 2023 daripada pengendali penerbangan perniagaan serantau,” tambahnya.

Daripada pemeriksaan pra-pembelian kepada pemeriksaan berjadual, ExecuJet MRO Services telah mengembangkan aktiviti perkhidmatan Falcon.
Dalam kes baru-baru ini, syarikat itu berkata pusat servis mengecat semula livery dan memperbaharui kabin Falcon 8X, digabungkan dengan kerja penyelenggaraan berat berjadual untuk mengoptimumkan masa di darat.
Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata status syarikat itu sebagai kemudahan Dassault MRO utama di rantau ini telah memacu permintaan baharu.
Beliau berkata pelanggan menghargai jurutera dan juruteknik telah dilatih oleh Dassault, ditambah pula dengan pengalaman serantau syarikat dengan jumlah testimoni pelanggan yang banyak.

"Kami kini menyokong semua model Falcon dan kebanyakan model lama. Dengan peningkatan bilangan pesawat Falcon di Asia, kami menyaksikan lonjakan permintaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan barisan dan pangkalan serta kerja pemeriksaan pra-pembelian,” tambahnya.
Pada masa ini, kerja Falcon menyumbang lebih separuh daripada perniagaan syarikat itu.
Syarikat itu berkata ia terus meningkatkan usaha untuk mendapatkan bakat, termasuk mengupah juruteknik penyelenggaraan dan jurutera yang diperakui untuk kerja MRO pesawat Falcon.
ExecuJet MRO Services merupakan anak syarikat milik penuh Dassault Aviation dan mempunyai kemudahan MRO bertaraf dunia di Afrika, Asia, Australasia, Eropah dan Timur Tengah. - DagangNews.com








