Exabytes, Google Cloud jalin kerjasama tawar SME Kick-Starter Bundles untuk PKS Malaysia, Singapura dan Indonesia | DagangNews Skip to main content

Exabytes, Google Cloud jalin kerjasama tawar SME Kick-Starter Bundles untuk PKS Malaysia, Singapura dan Indonesia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jun - Exabytes menjalinkan kerjasama dengan Google Cloud untuk menawarkan SME Kick-Starter Bundles kepada Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, Singapura dan Indonesia. 

 

Tawaran tiga pakej perniagaan itu terdiri daripada aplikasi Google Workspace bersama satu nama domain dan 50 gigabait (GB) storan sandaran percuma. 

 

Pakej tersebut bermatlamat untuk membantu PKS menerima guna serta memanfaatkan teknologi digital dan awan dengan berkesan bagi mengurangkan kos, mengoptimumkan proses dan mencapai lebih ramai pelanggan untuk perniagaan mereka.

 

Dibina menggunakan platform komunikasi dan kolaborasi berasaskan awan yang terkemuka dalam industri, Google Workspace menghimpunkan aplikasi-aplikasi yang dikenali dan disukai ramai seperti Gmail, Chat, Calendar, Drive, Docs, Sheets, Meet, dan pelbagai lagi dalam satu ruang kerja dalam talian yang bersepadu. 

 

Ia juga didatangkan dengan pengurusan capaian siap terbina yang berkualiti tinggi, pengurusan peranti, serta perlindungan dan penyulitan data bagi mewujudkan persekitaran kerja jarak jauh yang selamat menerusi sebarang peranti elektronik dari mana-mana sahaja.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Group of Companies, Chan Kee Siak berkata, digitalisasi penting untuk perniagaan-perniagaan kekal berdaya saing dan rantau Asia Tenggara pada masa kini merupakan hab utama kepesatan transformasi digital yang paling rancak.

 

“Kerjasama strategik kami bersama Google Cloud akan menggabungkan kekuatan Google Workspace sebagai sebuah platform yang membantu orang ramai berhubung, bekerja dan berkolaborasi dari mana-mana sahaja dan Exabytes, sebuah syarikat serantau dengan kepakaran setempat dan rekod prestasi yang kukuh. 

 

 

exabytes
Chan Kee Siak

 

 

"Kerjasama ini menjadi satu penanda aras baharu buat kami dan kumpulan syarikat-syarikat kami. Kami amat teruja untuk melihat hasil yang bakal muncul daripada kerjasama ini, serta peluang-peluang baharu yang akan kami bawakan kepada PKS yang berhasrat mendigitalkan dan mengukuhkan keupayaan perniagaan mereka untuk berkembang lebih maju," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

google

 

 

Pengarah Global Perkongsian Berskala Dalam Talian Google Workspace, Yuval Dvir pula berkata, PKS mempunyai pelbagai keperluan dan lazimnya memerlukan sokongan pada peringkat tempatan apabila mereka beralih kepada digital. 

 

"Peralihan ini merangkumi keupayaan untuk melengkapkan pekerja-pekerja mereka dengan alat kerja yang inovatif dan fleksibel yang diperlukan untuk saling berhubung, bekerja dan berkolaborasi secara selamat menerusi mana-mana peranti, tidak kiralah sama ada mereka memilih untuk bekerja di pejabat, bekerja dari rumah, atau melayani pelanggan di barisan hadapan. 

 

 

google
Yuval Dvir

 

 

"Kami teruja turut serta bersama-sama rakan kongsi serantau kami iaitu Exabytes dalam transformasi digital PKS di seluruh rantau Asia Tenggara dan seterusnya. 

 

"Kami yakin PKS akan mendapat manfaat daripada SME Kick-Starter Bundle yang baru dilancarkan ini yang menggabungkan pelbagai aplikasi Google Workspace yang telah digunakan dan digemari oleh lebih daripada tiga bilion orang di seluruh dunia, bersama rangkaian tawaran perkhidmatan Exabytes,” katanya. - DagangNews.com