Ewein beli tanah RM25.84 juta di Pulau Pinang, rancang bina blok asrama pekerja 16 tingkat | DagangNews Skip to main content

Ewein beli tanah RM25.84 juta di Pulau Pinang, rancang bina blok asrama pekerja 16 tingkat

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Ewein Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Delight Island Sdn Bhd akan membeli tanah perindustrian kosong bernilai RM25.84 juta di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk membina blok asrama pekerja 16 tingkat.

 

Delight Island telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Magnum Heritage Sdn Bhd (MHSB), iaitu pihak berkaitan, untuk mengambil alih tanah perindustrian kosong seluas 16,004 meter persegi itu yang merangkumi 14 lot tanah bersebelahan.

 

Sehubungan itu, Ewein turut berhasrat melaksanakan cadangan mempelbagaikan aktiviti utama sedia ada kumpulan untuk merangkumi penyediaan penginapan asrama pekerja dan perkhidmatan berkaitan pengurusan tenaga kerja.

 

“Cadangan pengambilalihan tanah dan pembangunan (melalui kebenaran merancang) adalah selaras dengan pelan strategik kumpulan untuk menceburi perkhidmatan pengurusan tenaga kerja.

 

“Ini bakal menyediakan aliran pendapatan baharu tambahan kepada kumpulan melalui, antara lain, pendapatan sewa daripada penginapan asrama pekerja,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi mengelakkan keraguan, Ewein berkata cadangan pengambilalihan tanah dan cadangan mempelbagaikan aktiviti tidak saling bersyarat antara satu sama lain.

 

Berikutan kepentingan pengarah tertentu dan pemegang saham utama Ewein yang berminat dalam cadangan pengambilalihan tanah, ia disifatkan sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah Perenggan 10.08 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

“Oleh itu, MainStreet Advisers Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas untuk menasihati pengarah yang tidak berkepentingan dan pemegang saham tidak berkepentingan Syarikat berhubung dengan cadangan tersebut,” jelasnya.

 

Menurut makluman tersebut, Ooi Eng Leong merupakan Pengarah MHSB dan juga pemegang saham terbesar dalam Ewein dan MHSB.

 

Oleh itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Ewein, Goh Kiang Teng dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Ewein, Tay Seng Chew dikecualikan daripada semua perbincangan dan pengundian Lembaga Pengarah pada mesyuarat dan resolusi berkaitan cadangan pengambilalihan tanah itu.

 

Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan diperlukan yang diperoleh, Lembaga Pengarah kumpulan itu menjangkakan pengambilalihan tanah itu akan disiapkan pada separuh kedua 2024. - DagangNews.com