KUALA LUMPUR 12 April - Negara pengeluar minyak kelapa sawit menekankan bahawa Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) perlu memastikan keterangkuman pekebun kecil apabila ia dilaksanakan.
Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berkata walaupun peraturan baharu itu mencerminkan langkah terpenting EU dalam komitmen ke arah menyumbang kepada pengurangan penebangan hutan global, ia telah mewujudkan potensi risiko peminggiran pekebun kecil daripada rantaian bekalan.
"Penggubal undang-undang bersama EU, Suruhanjaya Eropah, Parlimen Eropah serta negara anggota perlu mewujudkan pendekatan bagi memastikan keterangkuman pekebun kecil untuk meminimumkan risiko pengecualian daripada pasaran EU.
"Ini selaras dengan semangat Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) iaitu 'jangan tinggalkan sesiapa pun di belakang',” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
CPOPC berkata, penting untuk membina perkongsian yang kukuh serta berstruktur antara EU dan negara-negara pengeluar minyak sawit bagi mewujudkan persekitaran yang membolehkan pematuhan terhadap EUDR dalam mengiktiraf usaha yang diambil untuk memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan di negara-negara pengeluar.
"Negara-negara pengeluar minyak sawit menghormati rasional EU untuk mengurangkan penebangan hutan dan kemerosotan hutan.
"Justeru, kami meminta EU untuk turut mengiktiraf usaha yang diambil oleh negara pengeluar minyak sawit bagi biodiversiti dan pemuliharaan hutan, selain langkahnya dalam meningkatkan pembangunan mampan industri sawit," kata CPOPC.
EU sewajarnya mengiktiraf Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai skim pensijilan penting yang mematuhi keperluan kesahihan negara pengeluar.
Negara-negara pengeluar mengalu-alukan kerjasama dengan EU untuk menjalankan penilaian terhadap cabaran serta potensi kesan EUDR terhadap pekebun kecil kelapa sawit bagi membangunkan langkah-langkah praktikal dan tindakan mitigasi untuk menjamin penyertaan pekebun kecil.
Pengenalan sistem serta mekanisme dalam mendapatkan minyak sawit mampan yang diperakui daripada pekebun kecil merupakan salah satu elemen utama untuk meminimumkan risiko.
Pekebun kecil kelapa sawit menyumbang kira-kira 41% serta 27% daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit, di Indonesia dan Malaysia.
Pekebun kecil menyumbang 35% hingga 40% daripada pengeluaran minyak sawit global.
"EU boleh mempertimbangkan instrumen inovatif untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan mampan pekebun kecil kelapa sawit.
"Ini termasuk, antara lain, pembinaan kapasiti, penyelesaian untuk memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan tanpa menjejaskan undang-undang perlindungan data peribadi termasuk pembangunan mekanisme inovatif bagi sokongan teknikal dan kewangan untuk memastikan peningkatan berterusan pekebun kecil sawit,"
katanya. - DagangNews.com








