KUALA LUMPUR 15 Dis - Syarikat infrastruktur digital dunia, Equinix Inc memasuki pasaran Malaysia dengan rancangan untuk membangunkan pusat data International Business Exchange (IBX) baharu dinamakan JH1 di Johor dengan pelaburan permulaan sekitar AS$40 juta (RM176.38 juta).
JH1 dijadualkan mula beroperasi dalam suku pertama 2024, dengan 500 buah kabinet dan ruang kolokasi seluas 1,960 kaki persegi.
Pusat data IBX yang bertaraf dunia ini akan menyokong syarikat-syarikat tempatan dan luar negara yang menjalankan perniagaan di Malaysia dengan akses ke atas Platform Equinix bagi menghimpunkan serta menyalinghubungkan infrastruktur digital asas yang dapat membantu kejayaan mereka.
Penyebarluasan Equinix ke Malaysia akan membuka peluang kepada entiti-entiti perniagaan untuk penyebarluasannya ke luar negara dan kepada syarikat multinasional yang ingin terus maju dan menginovasi dalam pasaran Malaysia.
Syarikat-syarikat Malaysia dapat menimba manfaat untuk memacu evolusi perniagaan mereka daripada sistem tradisional kepada digital dengan membesarkan skala infrastruktur mereka dalam ekosistem Platform Equinix yang terdiri daripada lebih 10,000 pelanggan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun ekonomi digital menjadi pemangkin bagi ekonomi Malaysia, pusat data memainkan peranan penting dalam mendukung ekonomi digital serta pertumbuhan yang mampan.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaburan ini daripada Equinix, berserta kepakaran global yang mereka bawa ke Johor, serta aneka pengalaman dan natijah digital yang akan memberi manfaat kepada negeri dan juga di Malaysia secara keseluruhan.

"Kami berbesar hati untuk berganding bahu dengan Equinix, dalam usaha untuk mentransformasikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi yang berpandukan kuasa digital di rantau ini," katanya.
Penyebarluasan ini menandakan kali kedua Equinix menjejakkan kaki di ASEAN berikutan rancangan diumumkan baru-baru ini tentang penyebarluasannya ke Indonesia, sekaligus membolehkan syarikat menangani permintaan kritikal ke atas infrastruktur digital di rantau tersebut.

Presiden Asia Pasifik Equinix, Jeremy Deutsch berkata, ia memperkukuhkan lagi kedudukan Equinix sebagai peneraju di Asia Pasifik dan di dalam pasaran strategik seperti Malaysia, salah sebuah pasaran tumpuan di Asia Pasifik oleh pelanggan-pelanggan globalnya.
"Saya ingin menzahirkan penghargaan kami kepada Pejabat Pelaburan Digital (DIO), Invest Johor, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas bantuan dan sokongan mereka.
"Kami amat berbesar hati untuk berkolaborasi lagi pada masa akan datang, sekaligus memaksimumkan potensi pertumbuhan digital perniagaan tempatan dengan aneka pengalaman dan natijah digital," katanya. - DagangNews.com








