EPMB, Blueshark laksana program perintis dengan Grab Malaysia bagi tingkatkan penggunaan motosikal EV | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPMB, Blueshark laksana program perintis dengan Grab Malaysia bagi tingkatkan penggunaan motosikal EV

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, EP Blueshark Sdn Bhd (EPSB) memeterai perjanjian kerjasama dengan Grabcar Sdn Bhd (Grab) dan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, bagi membentuk hubungan kerja dan meninjau peluang perniagaan bersama.

 

Di bawah perjanjian itu, EPSB akan bekerjasama dengan Grab dan Blueshark mempromosikan program mobiliti hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Selain itu, perjanjian itu tertumpu kepada rakan penghantaran mereka dan untuk kerjasama awal pelancaran Program Perintis, yang mana sejumlah 50 unit motosikal R1 EV akan disediakan kepada rakan kongsi penghantaran Grab terpilih secara percuma untuk percubaan.

 

Perintis ini adalah untuk mengumpul data pengalaman dan mengkaji kebolehlaksanaan EV dalam segmen penghantaran makanan.

 

Terma dan butiran tambahan mengenai kerjasama ini yang digariskan dalam Perjanjian Kerjasama adalah kekal sulit sehingga program perintis dimuktamadkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, kerjasama dengan Grab memberikan EPMB dan Blueshark akses kepada rangkaian pengguna yang luas milik salah satu jenama paling ketara dalam ekonomi gig hari ini. 

 

Katanya, ia juga selaras dengan salah satu matlamat mereka bersama Blueshark, iaitu untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan rumusan mobiliti yang benar-benar boleh diakses.

 

"Pada Mei 2022, Grab komited untuk mencapai neutraliti karbon dalam ekosistemnya menjelang 2040 sebagai sebahagian daripada matlamat ESG untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

 

"Kami percaya kerjasama baharu ini akan membantu mempercepatkan Grab ke arah objektif ini, dan mengharapkan perkongsian yang berjaya," katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

epmb
Ahmad Razlan Mohamed

 

 

Sementara itu, EPSB akan mengeluarkan, memasang dan mengedarkan Blueshark IOV Electric Motorcycle, model skuter elektrik pintar yang akan ditawarkan oleh Blueshark kepada rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab pada harga tawaran istimewa. EPSB akan memberikan waranti kilang untuk Motosikal Elektrik Blueshark IOV.

 

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada Program EV, Blueshark akan menyediakan bateri kepada rakan pemandu Grab dan rakan kongsi penghantaran pada harga promosi RM79 sepasang, sebulan, untuk enam bulan pertama, dan seterusnya pada RM110 sepasang, setiap bulan. 

 

Selain itu, rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab yang mengambil bahagian berhak mendapat pertukaran bateri BlueSwap Pro tanpa had selama 3 bulan di Stesen Tukar Bateri BlueSwap pada harga RM139 sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Grab akan menyampaikan inisiatif ini kepada rakan kongsi penghantarannya, melalui mesej yang dihantar melalui aplikasi pemandu Grab. - DagangNews.com