EP Manufacturing eksport 23,000 unit e-bikes ke Indonesia dan Vietnam pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EP Manufacturing eksport 23,000 unit e-bikes ke Indonesia dan Vietnam pada suku pertama

(Dari kiri) Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Averte Global, Roy Fung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd (ASEAN), Jeff Chong pada majlis menandatangani perjanjian induk pada 10 Januari 2023
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - EP Manufacturing Berhad (EPMB) memperoleh pesanan utama pertamanya untuk membekalkan motosikal elektrik (e-bikes) untuk pasaran Indonesia dan Vietnam dengan pesanan awal sebanyak 23,000 unit, yang akan dihantar bermula suku pertama 2023.

 

EPMB melalui anak syarikat milik penuhnya EP Blueshark Sdn Bhd, menandatangani perjanjian induk dengan Averte Global Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan Blueshark Group Ltd berpangkalan di Hong Kong, di mana Averte dan Blueshark bersetuju untuk menjadi rakan kongsi usaha sama dan pembeli.

 

Perjanjian pembelian akan berkuat kuasa selama 5 tahun dari tarikh perjanjian induk ini dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama. Sepanjang tempoh 5 tahun, EP Blueshark dijangka membekalkan sekurang-kurangnya 2 juta e-bikes kepada pembeli.

 

Harga bagi setiap e-nike dijangka berada dalam lingkungan AS$1,850 hingga AS$3,900.

 

EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark, yang menyasarkan pasaran Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

Pada Oktober 2022, EP Blueshark menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memasang dan mengeluarkan e-bikes di kemudahan pembuatannya yang akan datang di Glenmarie, Shah Alam.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB Lim Sim Yee berkata, perjanjian 5 tahun ini akan mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi kumpulan dengan margin yang mantap. 

 

Beliau berkata, ia akan meletakkan mereka pada pertumbuhan yang dipercepatkan sambil berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pembeli pada masa hadapan. 

 

"Walaupun penerokaan EV kami hanya bermula kurang dari setahun yang lalu, kami telah melihat sambutan yang kukuh daripada bakal pelanggan. 

 

“Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk EV beroda dua di Indonesia dan Vietnam. 

 

"Pasaran e-bike Indonesia sebagai contoh, diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 20.96% untuk mencapai AS$816.2 juta menjelang 2025, menurut kajian bebas Research and Markets," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com