Eksport nanas ke luar negara bernilai RM1.1 bilion tahun lepas | DagangNews Skip to main content

Eksport nanas ke luar negara bernilai RM1.1 bilion tahun lepas

Nilai eksport itu telah melepasi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan dalam tempoh RMK12

JASIN 17 Jun - Nilai eksport nanas Malaysia ke luar negara sepanjang  tahun lepas  bernilai RM1.1 bilion berbanding RM642 juta pada  2020, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

 

Eksport komoditi itu mencatatkan trend peningkatan sejak 2016 hingga tahun lepas, merangkumi pelbagai hasilan berasaskan nanas seperti nanas segar, nanas kaleng dan industri bromeliad.

 

"Nilai eksport itu telah melepasi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sehingga 2025 dan ini merupakan satu petanda yang baik. 

 

"Seterusnya, kita akan membuat semakan semula untuk sasaran bagi dua atau tiga tahun akan datang," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis, Bernama melaporkan.

 

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang  diwakili Ahli Lembaganya Alang Md Daud Dawan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini di Kampus UiTM Jasin.

 

MoU itu melibatkan kerjasama kedua-dua pihak merangkumi teknologi baharu dan pemindahan pengetahuan kemahiran teknikal yang terkini untuk pembangunan pengetahuan berkaitan industri nanas.

 

 

nanas

 

 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain itu terdapat peningkatan permintaan dari China dan Timur Tengah terhadap nanas Malaysia terutamanya varieti MD2 dan varieti tempatan seperti N36 dan Josapine.

 

"Singapura merupakan negara pengimport tertinggi bagi produk nanas negara iaitu dengan penguasaan pasaran 66 peratus, manakala China merupakan lokasi pengeksportan yang mempunyai potensi tinggi terutamanya nanas premium segar jenis MD2," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata nanas di negara ini juga mendapat permintaan tinggi untuk dieksport ke Jerman, namun ia tidak dapat dipenuhi memandangkan pelbagai faktor dan spesifikasi tertentu yang perlu diikuti seperti memerlukan pensijilan GLOBAL GAP dan pengeluaran yang terhad. 

 

"Pada tahun lepas, kira-kira 525,097 tan pengeluaran nanas direkodkan dengan keluasan tanah adalah 11,760 hektar.

 

Namun, daripada jumlah keluasan tersebut, hanya 30 peratus mampu dieksport manakala 70 peratus adalah untuk memenuhi permintaan tempatan," katanya. - DagangNews.com