Eksport, import Malaysia catat peningkatan pada Februari, Johor mendahului berbanding negeri lain | DagangNews Skip to main content

Eksport, import Malaysia catat peningkatan pada Februari, Johor mendahului berbanding negeri lain

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Jumlah eksport dan import negara menunjukkan peningkatan pada bulan Februari 2023 berbanding bulan sama tahun sebelumnya masing-masing meningkat sebanyak RM10 bilion (+9.8%) dan RM10.3 bilion (+12.4%).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri pada Februari 2023 didahului dengan Johor (+RM5 bilion), Pulau Pinang (+RM3 bilion), Kuala Lumpur (+RM2.1 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM450.8 juta), Melaka (+RM424.7 juta), Kelantan (+RM333.0 juta), Terengganu (+RM159.1 juta) dan Selangor (+RM56.1 juta).

 

Tambahnya, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.7%, diikuti oleh Johor (21.5%), Selangor (17.6%), Sarawak (8.6%) dan (5.4%).

 

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Labuan (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM559.6 juta), Kedah (-RM426.6 juta), Perak (-RM397.1 juta), Pahang (-RM79.6 juta) dan Perlis (-RM19.0 juta)," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Mengulas lanjut, Mohd uzir berkata, jumlah import pada bulan Februari 2023 turut meningkat RM10.3 bilion atau 12.4% berbanding pada bulan yang sama tahun lalu.

 

Menurutnya, Johor sekali lagi mendahului prestasi import dengan peningkatan sebanyak RM7.4 bilion diikuti oleh Selangor (+RM2.5 bilion), Melaka (+RM1.6 bilion), Pulau Pinang (+RM882.9 juta), Pahang (+RM178.2 juta), Negeri Sembilan (+RM91.7 juta), Perlis (+RM53.3 juta) dan Kelantan (+RM38.1 juta).

 

"Import menyusut bagi Sarawak (-RM936.3 juta), Kedah (-RM558.6 juta), Terengganu (-RM412.1 juta), Sabah (-RM233.7 juta), Perak (-RM161.8 juta), Kuala Lumpur (-RM69.7 juta) dan Labuan (-RM11.6 juta)," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata Selangor adalah penyumbang utama import Malaysia pada Februari 2023 dengan 26%, diikuti oleh Johor (26%), Pulau Pinang (21.5%), Kuala Lumpur (6.2%) dan Kedah (4.9%). - DagangNews.com