Eksport ayam dihentikan mulai 1 Jun ini, prospek Leong Hup kekal tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Eksport ayam dihentikan mulai 1 Jun ini, prospek Leong Hup kekal tidak menentu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Mei - Prospek Leong Hup International Bhd. kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat susulan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam mulai 1 Jun 2022 dalam usaha menangani inflasi makanan di negara ini. 

 

Langkah itu diambil berikutan tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

 

Ini mendorong Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan Leong Hup kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) juga dikurangkan kepada 56 sen.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran hasil teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 19.7% dan 26.4%.

 

Tambahan pula, prestasi kewangan kumpulan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 adalah tersasar daripada jangkaannya, hanya merangkumi 14.2% dan 17.5% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus.

 

Menurutnya, larangan yang laksanakan kerajaan dijangka menjejaskan keuntungan Leong Hup meskipun harga input utama, terutamanya kacang soya dan jagung, terus meningkat berikutan harga baja yang tinggi dan bekalan terhad.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan prestasi kumpulan akan meningkat semula pada suku ketiga memandangkan harga input utama (khususnya kacang soya dan jagung) yang lemah sejak suku pertama akan menyebabkan kos makanan yang lebih rendah.

 

"Selain itu, kami juga percaya permintaan untuk produk ayam akan kekal kukuh, kerana aktiviti ekonomi di semua operasi kumpulan telah disambung semula dengan sekatan yang minimum," katanya.

 

Bagi suku pertama, untung bersih Leong Hup menjunam sehingga 71.03% kepada RM20.38 juta daripada RM70.33 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, diheret turun oleh harga kos input makanan yang tinggi. 

 

Ini berlaku walaupun terdapat peningkatan 24.49% dalam hasil suku tahunnya kepada RM2.09 bilion daripada RM1.68 bilion, disokong oleh peningkatan sumbangan hasil ternakan dan produk berkaitan ternakan serta segmen kilang makanan.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research turut menyemak turun penarafan Leong Hup kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan nilai wajar lebih rendah pada 50 sen daripada 72 sen.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran hasil FY22 dan FY23, masing-masing sebanyak 31% dan 14% terutamanya disebabkan kos makanan yang tinggi.

 

"Di sebalik terdapat tanda-tanda positif pemulihan jualan berdasarkan permintaan yang kembali meningkat daripada hotel, restoran dan kafe apabila ekonomi dibuka semula, kami percaya kos input yang tinggi berkemungkinan mengehadkan potensi pemulihan pendapatan Leong Hup," katanya.

 

Pada masa sama, tambahnya, keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam juga dijangka menjejaskan operasi kumpulan di Singapura yang memperoleh sumber ayamnya dari ladang Malaysia.

 

Setakat 11.29 pagi ini, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.99% kepada 51 sen dengan 522,700 saham diniagakan. - DagangNews.com