Ekovest masih lagi berunding ambil alih projek RTS Link | DagangNews Skip to main content

Ekovest masih lagi berunding ambil alih projek RTS Link

KUALA LUMPUR 30 Mei - Ekovest Bhd. mengesahkan sedang berunding dengan pihak berkaitan mengenai kemungkinan pengambilalihan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

 

Syarikat pembinaan itu menjelaskan perkara berkenaan dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini sebagai maklum balas kepada laporan The Edge Weekly yang disiarkan 28 Mei lalu bertajuk 'Lim Kang Hoo could take over RTS Link to Singapore'.

 

"Semua perbincangan masih berjalan dan pengumuman selanjutnya akan diumumkan apabila segala terma syarat dimuktamadkan," katanya.

 

Dalam laporan berkenaan, ahli perniagaan, Tan Sri Lim Kang Hoo yang mempunyai kepentingan 30% dalam Ekovest difahamkan sedang berusaha untuk mengambil alih Adil Permata Sdn. Bhd., syarikat yang diberi mandat untuk membina rangkaian kereta api bernilai RM3.7 bilion yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

 

Pada nilai RM3.7 bilion itu, ia memerlukan pembinaan stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru, depoh di Wadi Hana, Johor Bahru dan jejambat melalui pusat bandar dan merentasi selat Johor ke sempadan dengan Singapura.

 

RTS Link yang dijangka siap pada akhir 2026 ialah laluan ulang-alik kereta api sepanjang kira-kira 4 kilometer antara Bukit Chagar, Johor Bahru, Malaysia dan Woodlands di Singapura.

 

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, projek RTS Link dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

 

Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, dengan itu membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya. - DagangNews.com