Ekonomi Malaysia teruskan prestasi pemulihan - MIDF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia teruskan prestasi pemulihan - MIDF

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Ekonomi negara terus mencatatkan prestasi pemulihan yang baik melalui Indeks Pelopor (IP) yang meningkat kepada 8.6% dan mencapai 109.5 mata pada September 2020.

 

Pemulihan tersebut meningkat berbanding 100.8 mata yang dicatatkan pada bulan sama tahun 2019.

 

MIDF Research berkata, peningkatan kepada 8.6% itu juga lebih tinggi berbanding hanya 7.6% yang dicapai pada bulan sebelumnya.

 

"Ini adalah pertumbuhan positif untuk bulan kelima berturut-turut sekali gus menunjukkan ekonomi Malaysia masih berada di landasan pemulihan memandangkan aktiviti domestik yang kian pulih walaupun berdepan situasi mencabar

 

"Prestasi indeks yang lebih kukuh disumbangkan oleh import benar semi konduktor terutamanya litar bersepadu elektronik serta bilangan syarikat baharu yang berdaftar dalam subsektor perdagangan borong dan runcit," jelas MIDF Research.

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan prestasi IP bagi bulan  September 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui siaran Petunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan September 2020.

 

Prestasi IP digunakan untuk menjangkakan hala tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

 

BACA: Indeks hala tuju ekonomi Malaysia naik 8.6%

 

Tambah MIDF Research lagi, pengumuman Belanjawan 2021 yang menyasarkan kesejahteraan rakyat dilihat dapat membantu menghidupkan semula perkembangan ekonomi negara.

 

"Belanjawan 2021 yang menyasarkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi akan membantu menghidupkan kembali ekonomi daripada impak negatif pandemik global.

 

"Walaupun begitu, peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam negara dan global serta lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Malaysia kekal sebagai risiko penurunan ekonomi," tambah MIDF Research lagi. - DagangNews.com