KUALA LUMPUR 20 Jan - Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal sederhana, menyusut 0.4% kepada 110.5 mata pada November 2022 berbanding 110.9 mata bagi tempoh sama sebelum ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP merupakan mekanisme bagi menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu disebabkan oleh penawaran wang benar M1, indeks perusahaan Bursa Malaysia, bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaannya, jangkaan nilai jualan, pembuatan serta bilangan pendaftaran syarikat baharu.
Sebaliknya, kata beliau, prestasi IP bulanan mencatat peningkatan sebanyak 0.8% pada November 2022 berbanding negatif 0.3% pada bulan sebelumnya.
“Trend ini didorong oleh jangkaan nilai jualan, pembuatan (0.3%), import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (0.3%), bilangan syarikat baharu yang didaftar (0.2%), import benar semikonduktor (0.1%) dan penawaran wang benar M1 (0.05%),” katanya dalam kenyataan laporan Petunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi November 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Berpandukan arah aliran jangka panjang yang lancar pada November 2022, IP kekal mencatatkan arah aliran di bawah trend 100.0 mata.
Sehubungan itu, menurutnya, ekonomi Malaysia dijangka menyederhana beberapa bulan ke hadapan 2023 walaupun berdepan risiko kelembapan ekonomi global.
Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatat peningkatan 5.5% tahun ke tahun kepada 120.6 mata pada November 2022 daripada 114.3 mata pada November 2021.
Perubahan bulanan IS juga mencatat peningkatan sebanyak 0.1% yang disokong oleh indeks pengeluaran perindustrian (0.2%), gaji dan upah benar pembuatan (0.1%), jumlah guna tenaga pembuatan (0.04%) dan nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.02%). - DagangNews.com








