KUALA LUMPUR 6 Julai - Pertandingan tahunan popular Maxis, eKelas Highly Immersive Programme (HIP) English Storyfest Maxis kembali untuk tahun keempat dengan cabaran yang baharu dan menarik untuk menginspirasikan pelajar tahun 4 hingga tingkatan 5.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, pertandingan eKelas HIP English StoryFest menyediakan pengalaman yang mendalam untuk membantu pelajar mempelajari Bahasa Inggeris dengan cara yang menarik dan menyeronokkan serta melengkapkan akademik mereka di sekolah.
"Setiap tahun, kami berbesar hati dengan peningkatan bilangan penyertaan yang kini telah melebihi 3,500. Kami akan terus membawa kandungan digital terbaik kepada pelajar terutamanya dari masyarakat luar bandar dan berharap lebih ramai pelajar menyertai pertandingan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelancaran pertandingan secara maya baru-baru ini telah dihadiri oleh lebih daripada 750 pemimpin, guru dan pegawai daerah di seluruh Malaysia.
Kemuncak acara interaktif itu ialah bengkel bercerita yang dikendalikan oleh KL Shakespeare Players, memberi gambaran tentang beberapa siri bengkel untuk menyokong pelajar.
Para guru juga mengadakan sesi perkongsian tentang pengajaran Bahasa Inggeris dengan cara yang menyeronokkan serta petua untuk membimbing pelajar mereka menghantar penyertaan terbaik untuk pertandingan tersebut.
Pertandingan eKelas HIP English StoryFest telah diperkenalkan pada tahun 2019, dengan menawarkan pelajar pengalaman interaktif serta akses kepada bimbingan secara maya melalui kandungan, bengkel dan latihan untuk meningkatkan keyakinan mereka.
eKelas adalah sebuah program komuniti perdana Maxis yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar di luar bandar.
Inisiatif pembelajaran digital sekolah yang terbuka bagi pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 ini menawarkan cara belajar yang menyeronokkan melalui akses kandungan pendidikan berkualiti percuma, selaras dengan sukatan pelajaran Malaysia.
Program ini memfokuskan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.
eKelas menyediakan pengalaman pembelajaran digital yang lengkap, termasuk pertandingan STEM untuk pengekodan, pertandingan menulis esei, kemahiran berfikir kreatif dan mereka bentuk.
Pendaftaran pertandingan dan akses kepada bengkel percuma kini dibuka untuk pelajar sehingga 31 Ogos 2022 melalui www.ekelas.com.my. - DagangNews.com








