EG Industries cadang laksana penempatan persendirian, kumpul modal RM22.41 juta | DagangNews Skip to main content

EG Industries cadang laksana penempatan persendirian, kumpul modal RM22.41 juta

KUALA LUMPUR 9 Feb - EG Industries Bhd bercadang melaksanakan penempatan persendirian untuk mengumpul RM22.41 juta bagi membiayai pengembangan perniagaan dan modal kerjanya.

 

Penempatan itu memerlukan terbitan saham baharu berjumlah sehingga 40.93 juta, mewakili 10% saham terbitan EG Industries kepada pelabur bebas, kata pembekal  perkhidmatan pembuatan elektronik itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam.

 

Syarikat itu berkata, harga terbitan 54.75 sen mewakili diskaun sebanyak 9.95% terhadap harga pasaran purata wajaran volum lima hari bagi saham EG Industries sehingga tarikh terkini yang boleh dilaksanakan iaitu sebanyak 60.8 sen.

 

Menurut EG Industries, ia berhasrat untuk meningkatkan kapasiti kilang pembuatan sedia ada di Sungai Petani, Kedah dan meningkatkan kecekapan proses pengeluarannya dengan membina kilang pembuatan tambahan di Taman Perindustrian Batu Kawan di Pulau Pinang.

 

Kilang Batu Kawan yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2024 akan digunakan untuk pengeluaran produk modular fotonik 5G, pemasangan kotak produk elektrik dan elektronik, pejabat pengeluaran serta gudang untuk barangan siap.

 

Pemegang saham utama EG Industries ialah ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif, Datuk Alex Kang Pang Kiang (15.74% kepentingan), dan pengerusi dan pengarah bukan eksekutif bukan bebas, Keh Chuan Seng (6.83% kepentingan).

 

Kumpulan itu berkata, penempatan persendirian itu dijangka selesai pada separuh pertama 2023. – DagangNews.com