KUALA LUMPUR 21 Ogos - Edra Melaka Power Plant (EMPP) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Stesen Janakuasa Terbaik – Kategori Gas oleh POWER Magazine di Persidangan POWER Experience yang diadakan baru-baru ini.
Anugerah tersebut mengiktiraf sistem pengurusan cemerlang EMPP yang dicatatkan pada 2022 melalui penggunaan teknologi canggih, serta kemampuannya untuk mencapai kecekapan maksimum dan pada masa yang sama, meminimumkan impak alam sekitar.
Di samping itu, ia adalah bukti amalan operasi dan penyelenggaraan (O&M) berhemat oleh pasukan O&M yang komited dalam memastikan stesen janakuasa itu berjalan dengan mampan, selamat dan ekonomik.
Dibina, dimiliki dan dikendalikan oleh Edra Energy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Edra Power Holdings Sdn Bhd, stesen janakuasa turbin gas kitaran bergabung (CCGT) itu adalah yang terbesar di Asia Tenggara setakat ini, dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 2,242MW.
Stesen janakuasa rendah karbon ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 28 Februari 2022. Ia terdiri daripada 3 blok penjanaan yang menampilkan teknologi turbin gas 9HA.02 yang paling canggih dan cekap di dunia.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Edra, Anbarasan Sellappan berkata, pihaknya amat gembira dikurniakan anugerah antarabangsa berprestij ini yang merupakan pengiktirafan kepada kecemerlangan teknologi dan prestasi baik EMPP serta rantaian nilainya.
"Pekerja kami adalah aset terbesar kami. Dengan pendekatan pengurusan projek yang kukuh, mereka telah mengambil langkah proaktif dalam menyiapkan projek ini dengan pelaksanaan tangkas serta standard kualiti tertinggi.

"Segala usaha dilaksanakan dalam garis masa yang kritikal walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19. Tahniah kepada semua kakitangan atas pencapaian yang mengagumkan ini," tambah beliau.
Dalam menyahut saranan Kerajaan Malaysia untuk membina, memiliki dan mengendalikan stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia yang disokong oleh komitmen mitigasi perubahan iklim, EMPP bersedia menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai pada tarif kompetitif dari segi ekonomi.
Secara khususnya, EMPP mampu menjana kira-kira 19.6GW elektrik setiap tahun, menyumbang kira-kira 10% kepada jumlah permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia bersamaan menyalurkan bekalan tenaga sehingga empat juta kediaman untuk 21 tahun akan datang pada kecekapan tinggi dengan keupayaan pembakaran pada pelepasan Nitrogen Oksida (NOx) yang rendah.
Selari dengan ‘Utamakan Keselamatan, Utamakan Kualiti, Mengejar Kecermelangan’ sebagai prinsip asasnya, EMPP telah mencapai hampir 15 juta jumlah jam kerja dijalankan tanpa sebarang kemalangan sejak pembinaannya pada Disember 2017.
Stesen janakuasa itu juga menyediakan banyak peluang ekonomi di negara ini, yang mana ia menarik pelaburan domestik dan antarabangsa, melonjakkan pembangunan perindustrian dan komersial dan sekaligus, memacu lagi ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. - DagangNews.com








