KUALA LUMPUR 1 Jun - Ecoscience International Bhd. memeterai perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia perkhidmatan pengilangan minyak sawit bersepadu itu dijangka disenaraikan pada suku ketiga 2022 yang menyaksikan IPO sebanyak 112.17 juta saham biasa, mewakili 33% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Ia terdiri daripada terbitan awam sebanyak 82.17 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 30 juta saham sedia ada.
HLIB akan menaja jamin sebanyak 23.8 juta saham terdiri daripada 17 juta saham yang diperuntukkan untuk orang awam manakala 6.8 juta saham untuk pengarah, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Ecoscience dan anak-anak syarikatnya.
Sementara itu, baki 45.87 juta saham dan 42.5 juta saham adalah untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong berkata, perjanjian taja jamin itu adalah satu lonjakan yang ketara dalam perjalanan syarikat untuk menjadi entiti tersenarai sekali gus meningkatkan kedudukan ke arah fasa pengembangan seterusnya.
Katanya, kumpulan berhasrat untuk memperkukuhkan operasi di Indonesia, yang merupakan antara 3 pasaran utamanya selain Gabon dan Malaysia.
"Dengan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, kami percaya terdapat banyak peluang pertumbuhan yang boleh ditemui di sana.
"Di samping itu, kami juga mahu mengembangkan perniagaan kecekapan alam sekitar dan tenaga kami yang melibatkan pemajakan peralatan rawatan air bukan kimia untuk digunakan dalam minyak sawit dan industri lain.
"Kami melihat ini sebagai nilai tambah yang hebat kepada tawaran perkhidmatan sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ecoscience ialah penyedia penyelesaian sehenti dan kontraktor siap guna untuk pembinaan loji dan kemudahan untuk kilang kelapa sawit dan ladang dengan keupayaan fabrikasi dalaman peralatan pengilangan minyak sawit.
Sehingga kini, ia mempunyai rekod prestasi yang mantap dalam menyiapkan pembinaan kilang minyak sawit, kilang penapisan minyak sawit, loji biodiesel, loji biojisim dan loji biogas serta menaik taraf kilang minyak sawit sedia ada.
Anak syarikat milik penuhnya, Ecoscience Manufacturing & Engineering Sdn. Bhd. ialah kontraktor Gred 7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
HLIB merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO Ecoscience. - DagangNews.com








