KUALA LUMPUR 22 Mac - Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan komited berjumlah RM8 bilion untuk negeri Pahang pada tahun ini.
Pelaburan ini dijangka mewujudkan sebanyak 8,000 pekerjaan baharu dan 400 peluang keusahawanan untuk rakyat negeri tersebut.
Bagi pelaburan yang berpotensi pada tahun ini pula termasuklah pengeluaran bahan guna perubatan, pemprosesan silika, pengeluaran aloi dan mineral.
ECERDC juga menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.7 bilion di negeri ini.
Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) dari 2018 hingga Disember 2021, ECERDC telah mencapai sebanyak RM19.7 bilion pelaburan komited iaitu 64% daripada sasaran EMP2.0 yang berjumlah sebanyak RM31 bilion untuk Pahang sehingga tahun 2025.
Daripada jumlah ini, 54% adalah pelaburan langsung asing (FDI) dan 46% adalah pelaburan langsung domestik (DDI).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan memastikan projek strategik dan inisiatif yang dirancang untuk negeri Pahang.
Antaranya, seperti kerja-kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan akan terus dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi kedudukan negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan agar faedah ekonomi dapat dinikmati oleh penduduk setempat.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan program-program pembangunan modal insan ECERDC di negeri Pahang bagi 2022," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang hari ini.
Salah satu projek utama ECERDC untuk mengukuhkan tarikan pelaburan ke negeri Pahang ialah pembinaan projek bekalan air Kemaman-Gebeng sepanjang 29 kilometer (km).
Apabila siap kelak, projek ini bakal menyalurkan air dari Kemaman, Terengganu, ke Gebeng, Pahang dan akan memenuhi permintaan masa depan pelabur di kawasan perindustrian Gebeng sekali gus mengukuhkan daya tarikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.
Ini juga akan membantu menarik pelabur untuk memilih Gebeng sebagai lokasi pilihan mereka untuk pelaburan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, penarikan pelaburan yang menggalakkan dalam tempoh mencabar ini sememangnya bukti kerjasama erat di antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Katanya, ECERDC akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan ke dalam bidang tumpuan utama Pahang sambil meneroka industri baharu seperti pembuatan dan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV).
"ECERDC juga akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak syarikat untuk menubuhkan pusat data di Taman Teknologi Pahang kami,” katanya. - DagangNews.com








